
Article
Pengambilankhas Pdrm Keratan Akhbar Pilihan Pdrm Sasar 20 30 Peratus Pengambilan Bukan Bumiputera Orang Asli
Kuala Lumpur, 16 Mac 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 20 hingga 30 peratus jumlah keanggotaan daripada kalangan bukan bumiputera serta orang asl...
Kuala Lumpur, 16 Mac 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 20 hingga 30 peratus jumlah keanggotaan daripada kalangan bukan bumiputera serta orang asli untuk membentuk satu pasukan yang lebih dinamik dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, pengambilan lebih ramai bukan bumiputera dan orang asli penting kerana ia akan mengatasi masalah komunikasi bagi menyelesaikan pelbagai kes yang dikendalikan pasukan polis.
“Saya takut nanti keanggotaan dalam PDRM terdiri daripada 95 peratus bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak, perkara itu nanti tidak nampak cantik dan harapan tinggi tidak boleh diletakkan kepada kami untuk bergerak sebagai sebuah pasukan yang dinamik.
“Mungkin 20 peratus atau 30 peratus mengikut komposisinya. Saya mengalu-alukan (keanggotaan bukan bumiputera) sebab lagi bertambah kepelbagaian keanggotaan dalam PDRM lagi cepat kita dapat bergerak, tiada halangan dalam komunikasi,” katanya semasa ditemu bual di sini pada Isnin.
Menjelaskan mengenai jurang peratusan kaum itu, Tan Sri Abdul Hamid berkata, setakat ini sejumlah 1.9 peratus kaum Cina dan tiga peratus kaum India menganggotai PDRM daripada kira-kira 123,000 pegawai dan anggota polis seluruh negara manakala jumlah keanggotaan dalam kalangan orang asli dilihat semakin berkurangan.
Ketua Polis Negara berkata, dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara, PDRM memerlukan pengorbanan, sumbangan dan penyertaan daripada setiap kaum dan menurutnya, pihaknya menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan bukan bumiputera sejak tahun 2010 lagi.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan Sinar Harian di lampiran.