
Artikel
Penerjunan Para Bebas 69 Komando Di Asihm24 Catat Malaysia Book Of Records
Kuala Lumpur, 14 Februari 2024 - Aksi penerjunan para bebas 69 Komando oleh tujuh "troopers" Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicatat dalam The Malaysia Book of Re...
Kuala Lumpur, 14 Februari 2024 - Aksi penerjunan para bebas 69 Komando oleh tujuh "troopers" Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicatat dalam The Malaysia Book of Records atas pencapaian membuat terjunan tertinggi dalam perasmian Anak Sarawak International Half Marathon 2024 (ASIHM24) di ibu negara pada 3 Februari lalu.
Terjunan bersejarah tersebut disempurnakan dengan jayanya oleh Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, Sarjan Mejar Ahmad Basri Salleh, Sarjan Shamshur Sador, Sarjan Zainal Abiddin Zakaria, Sarjan Nor Saiful Izwan Mohd Noor, Sarjan Shahril Afiza Zahari dan Sarjan Mohd Hazlan Zakaria.
Kesemua penerjun melakukan terjunan tertinggi di waktu malam dengan menaiki pesawat Agusta Westland 139 milik Pasukan Gerakan Udara yang dikendalikan oleh Juruterbang dan Pemerhati Udara Pasukan diketuai oleh Superintendan Mohd Fairuz Jamil, ASP Mohd Huzir Yahaya, Sub Inspektor Mohd Yani Abdul Malek, Sarjan Nor Airie Mohd Nasir, Koperal Saiful Azzam Zubair dan Koperal Muhammad Faizzul Zulkifli.
Sijil Anugerah The Malaysia Book of Records bagi "Highest Altitude Skydiving For An Event Launch" disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang mewakili pucuk pimpinan Pasukan.
Bagi pihak seluruh warga Pasukan, kami mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada 69 Komando atas pencapaian cemerlang dalam lipatan sejarah Pasukan dan negara. Warisan Darah Perwira!