Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Pencapaian Terbaik Pdrm Sejak 20 Tahun Lalu

Published: 16 Jun 2014 3.11 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
"Kejayaan menurunkan jenayah indeks itu termasuk kejayaan mengurangkan jenayah jalanan membabitkan ragut dan samun tepi jalan. Pada 2010, sejumlah 6,885 kes jenayah jalanan dicatatkan berbanding 11,18..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pencapaian-terbaik-pdrm-sejak-20-tahun-lalu
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:18 MYT

KUALA LUMPUR- 5 Januari 2011:

Rekod membanggakan bagi tempoh sepanjang 2010 apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak 13.47 peratus sekali gus dianggap pencapaian terbaik sejak 20 tahun lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin berkata, sebanyak 176,459 kes jenayah dilaporkan berlaku sepanjang tahun lalu berbanding 203,930 kes pada 2009.

Menurutnya, penurunan memberangsangkan itu disumbangkan hasil kerja keras anggota polis dalam menangani jenayah selain memastikan keselamatan menjadi agenda paling penting.

"Kejayaan terbabit turut disumbangkan penurunan jenayah jalanan sebanyak 38 peratus melangkaui sasaran yang ditetapkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak 20 peratus sebelum ini. Ini adalah pencapaian memberangsangkan selepas pihak PDRM hanya berjaya menurunkan jenayah indeks sebanyak 1.05 peratus pada 2009 sekali gus kejayaan kali pertama sejak 2002," katanya. Difahamkan, prestasi membanggakan itu turut disumbangkan kecekapan polis menyelesaikan siasatan sebanyak 45.5 peratus kes jenayah yang dilaporkan orang ramai iaitu dua kali ganda daripada peratusan yang ditetapkan polis antarabangsa (Interpol).

"Kejayaan menurunkan jenayah indeks itu termasuk kejayaan mengurangkan jenayah jalanan membabitkan ragut dan samun tepi jalan. Pada 2010, sejumlah 6,885 kes jenayah jalanan dicatatkan berbanding 11,186 kes tahun sebelumnya.

"Antara usaha yang sudah dilaksanakan termasuk memastikan kehadiran anggota polis yang lebih ramai, skim rondaan sukarela di samping penugasan semula 6,791 personel polis ke barisan depan dan 3,814 anggota awam untuk mengendali tugas pentadbiran di balai. Ia jelas memberi impak yang berkesan," katanya.

Selain itu, laporan polis berhubung kes pembunuhan, rogol, rompakan bersenjata, curi kenderaan dan pecah rumah turut menunjukkan penurunan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah dalam kenyataannya semalam berkata, jenayah indeks di Kuala Lumpur menurun sebanyak 6,707 atau 18.3 peratus kepada 29,953 tahun lalu berbanding 36,663 kes pada 2009.

Beliau berkata, sejumlah 14,806 kes daripada keseluruhan 29,953 kes yang disiasat dapat diselesaikan.
Kejayaan menurunkan jenayah indeks terbabit diyakini dapat diteruskan menerusi konsep 4P diperkenalkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar bagi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Konsep 4P itu merangkumi 'Protective' (Melindungi), 'Performance' (Berprestasi), 'Proactive' (Proaktif) dan 'People Oriented' (Berorientasikan Masyarakat) diyakini mampu membawa pasukan polis ke tahap lebih tinggi. Melalui konsep berkenaan, PDRM akan berusaha meningkatkan prestasi, menjadi lebih proaktif dan berorientasikan masyarakat.
ArticlePublished 16 Jun 2014 3.11 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM