Penambahan Anggota Sspdrm Mampu Turunkan Indeks Jenayah Di Melaka
Melaka, 6 Jun- Penambahan 323 anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) diharap mampu mencapai sasaran pengurangan indeks jenayah di Melaka, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, ACP Goh Kim Hua.
Beliau berkata pada masa ini Melaka hanya memiliki 518 anggota SSPDRM dan penambahan anggota SSPDRM itu akan membantu pihaknya mengurangkan kadar jenayah di negeri ini melalui rondaan, sekatan jalan raya dan operasi bersama anggota tetap.
"Anggota SSPDRM akan ditempatkan di semua daerah khusus untuk membanteras kegiatan jenayah dan kami harap mereka dapat membantu mencapai sasaran pengurangan indeks jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Induksi Inspektor SSPDRM Siri 1/2015 dan Kursus Asas Konstabel Pelatih SSPDRM Siri 1/2014 di IPK di sini hari ini.
Pada majlis itu, 323 pelatih SSPDRM menerima Sijil Tamat Latihan selepas mengikuti kursus asas kepolisan selama 20 hari bermula 18 Mei lepas.
Goh berkata anggota SSPDRM juga akan ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong seperti Jonker Walk, Kota Laksamana, Tengkera dan Batu Berendam bagi memberi keselesaan kepada pelancong.
"Kami akan agihkan anggota SSPDRM di pasukan Unit Pelancong yang akan beroperasi 24 jam di kawasan sekitar Jonker Walk dan Bandar Hilir kerana ia merupakan kawasan tumpuan pelancong," katanya.- BERNAMA