Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Penahanan Seorang Lelaki Selesaikan Lima Kes Samun Curi Kereta Di Nusajaya

Published: 19 Aug 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun dan curi kereta di sekitar Nusajaya, di sini, selepas menahan seorang lelaki di Taman Perling, di sini, dua hari lepas.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/penahanan-seorang-lelaki-selesaikan-lima-kes-samun-curi-kereta-di-nusajaya
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 16:20 MYT

Johor Bahru, 19 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun dan curi kereta di sekitar Nusajaya, di sini, selepas menahan seorang lelaki di Taman Perling, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berumur 40an itu ditahan kira-kira 10.30 malam selepas anggota polis bertindak atas maklumat orang awam.

"Semasa polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari, di sini, orang awam telah meminta pertolongan untuk mengejar lelaki itu yang baru melakukan samun.

"Polis bertindak mengejar lelaki itu yang menaiki Proton Iswara berwarna merah dan akhirnya berjaya menahannya di Jalan Layang-Layang 11, Taman Perling, kira-kira 10 minit kemudian selepas kenderaan terbabit bergesel dengan van polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Hashim berkata pemeriksaan mendapati Proton Iswara itu adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, pada pukul 7 malam, hari yang sama, dan polis turut menemui pisau lipat, telefon bimbit serta dompet, daripada lelaki tersebut.

Beliau berkata lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu van mengaku aktif mencuri kereta dan samun sejak dua bulan lepas.

Katanya, modus operandi lelaki itu adalah menggunakan pisau dan menyasarkan mangsa yang hendak memasuki kereta lalu mencuri kenderaan terbabit untuk melakukan jenayah samun.

Dia kini direman mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A kanun yang sama.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang berjaya meloloskan diri dalam kes samun bersenjatakan parang di Gelang Patah, tengah hari semalam.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah kedai runcit di Lima Kedai, Gelang Patah di sini apabila dua lelaki memakai topeng masuk ke dalam kedai dan menyamun seorang mangsa.

"Seorang daripada suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan manakala rakannya sempat melarikan diri. Polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan suspek untuk menyamun antaranya sebuah motosikal jenis Honda, sebilah parang, satu
telefon bimbit, topeng dan sebuah beg," katanya.

Noor Hashim berkata butiran mengenai suspek yang melarikan diri itu, telah diperolehi dan usaha mengesannya masih giat dijalankan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam lima kes samun di sekitar Gelang Patah, sejak tiga bulan lepas. Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurangnya lapan kes samun bersenjatakan parang di kawasan Gelang Patah dan Nusajaya," katanya. -BERNAMA

ArticlePublished 19 Aug 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM