Pemandu Teksi Ditahan Bawa Dadah
Kuantan,
23 Jan - Polis menahan seorang pemandu teksi dipercayai membawa dadah
jenis heroin dan syabu di dalam kenderaannya dalam sekatan jalan raya di
Km26 Jalan Gambang-Maran di sini, semalam.
Dalam
kejadian 12.20 tengah malam itu, suspek berumur 45 tahun yang
dipercayai seorang pengedar, memandu Proton Wira Aeroback dalam
perjalanan menuju ke Kuantan untuk mengedar bekalan dadah itu.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata
hasil pemeriksaan, polis menemui tiga bungkusan surat khabar yang
disorok di dalam ruang simpanan sebelah pemandu.
Katanya
bungkusan itu berisi dua paket lutsinar dengan ketulan berwarna
kehijauan dipercayai dadah jenis heroin seberat 228.4g dan pemeriksaan
terhadap beg pakaian suspek menjumpai tujuh paket plastik berisi dadah
jenis syabu seberat 15.58g.
"Siasatan
awal mendapati suspek yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, dan
bekerja sebagai pemandu teksi itu dipercayai dalam perjalanan untuk
membekalkan dadah di kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita di
sini hari ini.
Menurutnya,
hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah
jenis methamphetamine dan dia ditahan reman selama seminggu.
Sumber : BERNAMA