Pelancaran Kempen Anti Rasuah Peringkat Pdrm
Kuala Lumpur, 2 Februari 2011 - Timbalan
Ketua Urusetia KPN (Tatatertib), YDH SAC Hashim bin Abdul Jalil mewakili
Ketua Polis Negara (KPN) telah melancarkan Kempen Anti Rasuah Peringkat
PDRM bertempat di Tol Jalan Duta pagi ini seiring dengan Ops Sikap yang
sedang dilaksanakan oleh Cawangan Trafik sempena sambutan perayaan
Tahun Baru Cina tahun ini.
PDRM sentiasa peka dalam usaha
menangani rasuah di kalangan pegawai dan anggotanya dan objektif utama
kempen ini dilancarkan adalah untuk memerangi gejala rasuah dalam
pasukan polis.
Dalam kenyataannya, beliau menyeru masyarakat
supaya tampil ke hadapan untuk menyalurkan maklumat kepada hotline Urus
Setia KPN (Tatatertib) di talian 03-2266 8682 / 8683, MCC 03-2266 3333 /
03-2266 3444 atau www.rmp.gov.my.
Kerjasama
ini amat diperlukan oleh PDRM untuk memupuk kesedaran di kalangan
masyarakat sebagai tindakan proaktif PDRM untuk membendung gejala
rasuah.
Semua aduan yang diberikan oleh orang ramai akan disiasat
dan tindakan sewajarnya akan diambil. Pemberi maklumat akan dirahsiakan
dan kerjasama pemberi maklumat itu adalah penting di mana segala
butiran terperinci seperti lokasi, nama, masa, tarikh, kenderaan dan
butiran lain perlu dalam membantu siasatan selanjutnya.
PDRM juga
turut mengalu-alukan segala maklumat salah laku anggota bukan sahaja
melibatkan kesalahan rasuah, bahkan juga salahlaku anggota polis sendiri
yang melanggar peraturan jalanraya dalam usaha meningkatkan imej
pasukan.
Usaha dan kempen ini akan diteruskan sebagai langkah
berterusan dalam memerangi rasuah sepertimana hasrat kerajaan seiring ke
arah mempertingkatkan integriti PDRM, juga sebagai menyokong gagasan
KPN - 'Protective, Performance and Outcome Oriented, Proactive dan
People Oriented'.
Sementara itu, sejumlah 40,000 sticker kenderaan
telah pun dikeluarkan dan sebanyak 12,000 keping telah diedarkan
manakala selebihnya akan diagihkan ke kontinjen-kontinjen seluruh
negara.

YDH SAC Hashim Bin Abd Jalil sedang memberi taklimat berkaitan Kempen Anti Rasuah...

ACP Muhammad bin Abdul Aziz sedang memberi taklimat berkaitan Kempen Anti Rasuah dari sudut perspektif NKRA
dan konsep 4P yang diamanatkan oleh YDH Ketua Polis Negara...

YDH SAC Hashim B. Abd Jalil sedang melekatkan pelekat Kempen Anti Rasuah kepada pengguna jalanraya...

Pegawai-pegawai dari Urus Setia KPN (Tatatertib) sedang mengedarkan pelekat Kempen Anti Rasuah...
Wartawan: L/Kpl Noor Azima
Jurufoto: L/Kpl Aslam
Penyunting: Insp. Aruwan