Bukit Aman - 30 September, 2010. Protective, Performance & Outcome Oriented, Proactive and People's Oriented merupakan 4P Polis Diraja Malaysia, satu pendekatan atau strategi baru yang dilancarkan oleh Yang Dihormati Ketua Polis Negara, Tan Sri Hj Ismail B. Hj Omar.
Pelancaran
diadakan dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Timbalan
Ketua Polis Negara, Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM, Timbalan-timbalan
Pengarah, pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia serta rakan-rakan
media. YDH Ketua Polis Negara memperkenalkan pendekatan 4P seiring
dengan 'tagline' yang telah dilafazkan sejak hari pertama beliau
memegang tampuk pimpinan PDRM. Akujanji beliau untuk bekerja berpaksikan
undang-undang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat akan
diperkuatkan dengan pelaksanaan 4P ini. 4P akan dilaksanakan dan
berkuatkuasa serta merta.
Menurut
YDH Tan Sri Haji Ismail B. Haji Omar, semua peringkat warga PDRM perlu
menghayati pendekatan 4P dalam menentukan perkhidmatan yang diberikan
mencapai matlamat yang diperlukan. Dalam masa yang sama, beliau telah
menjelaskan konsep 4P secara lebih terperinci.
Protective
Pihak
polis akan menjana kepakaran dan kemahiran sebagai pelindung kepada
masyarakat dalam memelihara undang-undang. Elemen pelindung ini tersirat
di dalam Akta Polis yang merangkumi dari sudut penguatkuasaan dan
pemeliharaan undang-undang, memelihara undang-undang dan ketenteraman,
mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan
penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan
keselamatan. Pihak polis merupakan pelindung masyarakat dan ianya perlu
disemai bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.
Performance & Outcome Oriented
Pencapaian
yang diperoleh menjana prestasi tinggi dan menentukan PDRM melepasi
tahap atau sasaran yang diperlukan. Pencapaian dapat diukur melalui Key Performance Index (KPI) dan kualiti yang diterjemahkan oleh PDRM melalui penurunan kadar jenayah dan kes-kes yang dapat diselesaikan oleh PDRM.
Proactive
PDRM
perlu selangkah ke hadapan di dalam berbagai aspek supaya perkhidmatan
yang diberikan kepada rakyat adalah terbaik dan melebihi ekspektasi.
Ianya dapat dilaksanakan dengan menjana pemikiran yang kreatif, kritis
dan inovatif di kalangan warga PDRM. Semua peringkat PDRM perlu
memainkan peranan dalam menyumbangkan idea dan cadangan bagi
meningkatkan keupayaan perkhidmatan PDRM.
People's Oriented
Segala
perkhidmatan PDRM adalah untuk rakyat. PDRM mengutamakan rakyat dan
memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira pangkat, darjat, bangsa
dan agama. Setiap pegawai dan anggota PDRM juga akan berubah dari aspek
fizikal dan mental agar dapat menghadapi cabaran dan transformasi.
YDH
Ketua Polis Negara menegaskan bahawa 4P ini bukan perkara baru namun
ianya adalah satu pendekatan tambahan untuk membawa Polis Diraja
Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan menyeru warga PDRM untuk bekerja
bersama-sama beliau.

YDH Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar, Ketua Polis Negara bersama YDH Datuk Hussin bin Hj Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara di Sidang Akhbar, 'Pelancaran 4P Polis Diraja Malaysia' di Menara 1, Bukit Aman.

'Pelancaran 4P Polis Diraja Malaysia'...bersama-sama YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah PDRM