Pecah Rumah Polis Putrajaya Tahan Lima Remaja
Putrajaya,
20 Sept - Polis menahan lima remaja lelaki dipercayai melakukan 12 kes
pecah rumah di Presint 17 dan 18 di sini sejak Mac lepas.
Ketua
Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid
berkata kelima-lima remaja berumur antara 16 dan 21 tahun itu ditahan di
kawasan berasingan pada Ahad hingga Rabu lepas.
"Polis
berjaya merampas 24 barang yang dipercayai barang curi bernilai
RM35,000 antaranya jam tangan jenama Omega, telefon bimbit dan kamera,"
katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Razak berkata kesemua suspek tiada rekod jenayah itu kini ditahan reman untuk siasatan.
Menurut
beliau, kebanyakan rumah yang dipecah masuk adalah rumah yang tidak
berkunci terutamanya di bahagian dapur dan bilik air.
Dalam
perkembangan lain, beliau berkata tiga lelaki warga Nigeria ditahan
pada 12 Sept kerana disyaki terlibat dalam jenayah "black money" dengan
menipu seorang ibu tunggal membabitkan transaksi RM88,000.
"Mangsa
yang berumur 55 tahun telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook
sejak Julai lalu dan turut ditawarkan untuk berkahwin dengan salah
seorang daripada suspek," katanya.
Mangsa
telah diperdaya untuk menyerahkan wang tersebut secara berperingkat
selain turut memberikan nombor akaun serta kad bank miliknya, katanya.
"Polis
bertindak selepas anak mangsa membuat laporan polis dan suspek kemudian
berjaya ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor," katanya.
Sumber : BERNAMA