Pdrm Utm Kerjasama Kaji Kualiti Penyiasatan Jenayah
Kuala Lumpur, 13 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menjalankan penyelidikan berhubung kualiti penyiasatan jenayah di seluruh negara.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datin Asmawati Ahmad berkata, kajian bermula 20 Jun sehingga 31 Julai depan itu bertujuan mengenal pasti isu-isu, tahap kompetensi, komitmen, kualiti dan faktor kompetensi dalam pengurusan penyiasatan jenayah, selain membangunkan hieraki pengurusan siasatan jenayah.
Asmawati berkata kajian berkenaan akan menjurus kepada tiga aspek siasatan iaitu kes jenayah indeks melibatkan jenayah berat seperti pecah rumah dan kenderaan; jenayah bukan indeks (tidak melibatkan kekerasan serta harta benda seperti ugutan); dan jenayah komersil.
"Bagi melaksanakan kajian ini, seramai 3,000 responden dari kalangan pengadu kes akan ditemu bual secara bersemuka oleh pihak penyelidik.
"Mereka (penyelidik) terdiri daripada pegawai PDRM, UTM serta agensi berkaitan siasatan seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bank Negara Malaysia, ahli kimia, pihak hospital dan ahli forensik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penyelidikan itu akan dilakukan di 10 buah negeri di Semenanjung Malaysia yang dibahagikan kepada zon utara, tengah, selatan dan timur.
Katanya, pengadu terpilih sebagai responden kajian akan dihubungi pegawai polis di peringkat daerah bagi ditemu bual secara sukarela.
- BERNAMA