
Artikel
Pdrm Perlu Sebaik Mungkin Kembalikan Keyakinan Masyarakat Kpn
Alor Setar, 18 Februari 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi boleh mengamalkan sistem kerja di takuk lama dan perlu berganjak dengan lebih progresif...
Alor Setar, 18 Februari 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi boleh mengamalkan sistem kerja di takuk lama dan perlu berganjak dengan lebih progresif untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap Pasukan dan memartabatkan PDRM selaku agensi penguatkuasa undang-undang terulung negara.
Untuk tujuan tersebut, penyelia perlu membudayakan konsep 'kepimpinan melalui teladan' dan turun padang dengan mengambil tahu semua hal di lapangan.
"Pegawai pemerintah atau penyelia perlu tahu peranan masing-masing dan tidak seharusnya bergantung harap kepada pelaporan pegawai bawahan sahaja.
"Pantau keseluruhan operasi agar anak buah dapat merasakan "bonding" kita sebagai ketua atau pemimpin mereka," ujar beliau di dalam Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang berlangsung dekat Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pagi tadi.
Selain itu kata beliau, kemajuan teknologi secara langsung telah menguji kemampuan PDRM dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang semakin kompleks, sehingga masyarakat selaku "stakeholders" menuntut elemen kepantasan dan ketepatan dalam perkhidmatan kepolisan.
"Kita mesti memberikan perhatian serius untuk meningkatkan kualiti penyiasatan yang lebih teratur dan sistematik. Maka adalah menjadi prioriti kepada kita untuk memastikan tahap siasatan memenuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
"Saya mahu semua pegawai penyiasat muda diberikan pendedahan, latihan dan penyeliaan yang jitu agar mereka "able and capable' mengendalikan sesuatu kes," tegas beliau.
Tan Sri Razarudin turut melahirkan rasa kecewanya terhadap segelintir pegawai yang masih mengamalkan sikap 'acuh tak acuh' terhadap aduan yang telah dimaklumkan kepada PDRM, sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.
Untuk itu katanya, semua Ketua Polis Daerah perlu semak kembali tatacara penugasan dan pelaporan dari Pusat Kawalan Daerah masing-masing bagi meningkatkan tahap "respond time" PDRM.
Dalam amanatnya tadi, beliau juga menyinggung peranan Unit Rondaan Bermotosikal dan kereta peronda yang merupakan barisan hadapan utama paling dekat dengan masyarakat.
"Jagalah hubungan baik dan tingkah laku di hadapan masyarakat. Pastikan para "frontliners" kita sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat," ujar beliau.
Majlis yang berlangsung selama dua jam tadi turut dihadiri oleh barisan ketua polis ketiga-tiga buah kontinjen, Ketua-ketua Jabatan IPK Kedah, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad dan SAC Dasar Strategik Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, SAC Azman Abd. Razak.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryan Mustin.