Pdrm Optimis Banteras Elemen Is Di Malaysia Kpn
Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : Insp. Rahim Othman Siru
Kuala Lumpur, 12 Jan - Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melipat gandakan usaha untuk memastikan ancaman keganasan yang digerakkan oleh Kumpulan Islamic State (IS) tidak kekal menapak dan berkembang di negara ini.
Ianya berikutan kejayaan PDRM melalui Cawangan Khas yang telah mengambil tindakan eksekutif dengan menahan seramai 82 individu yang terlibat dengan IS sepanjang tahun 2015 di mana 73 daripadanya merupakan rakyat Malaysia.
Berucap sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman anjuran Jabatan Pengurusan PDRM hari ini, beliau menjelaskan jumlah tangkapan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2014 yang menyaksikan 59 tangkapan dilakukan dengan 47 daripadanya adalah rakyat Malaysia sekaligus memberikan tanggapan elemen IS semakin mendapat tempat di kalangan golongan ‘sympathizers’ masyarakat Malaysia.
Dalam perhimpunan pada hari ini, beliau turut menyentuh siri-siri kejayaan Jabatan-jabatan dalam PDRM sepanjang 2015 antaranya kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menunjukkan penurunan kadar indeks jenayah pada tahun 2015 berbanding tahun 2014 serta kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melaksanakan 182,787 tangkapan sepanjang 2015 atas pelbagai kesalahan dadah, menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 174,427 tangkapan pada tahun 2014.
Ketua Polis Negara turut mengulas isu penyalahgunaan vape yang telah dikesan kewujudan sindiket mengadun cecair vape dengan dadah di mana ianya telah menyaksikan tangkapan 22 individu dan rampasan sejumlah besar cecair vape pada tahun 2015.
Tahun 2015 juga turut memperlihatkan peningkatan kes jenayah komersil sebanyak 15.28% berbanding 2014 di mana penyumbang utama kes adalah yang melibatkan melalui medium siber dan pecah amanah, namun Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah berjaya menumpaskan beberapa rentetan sindiket melibatkan jenayah komersil di negara ini.
Dalam ucapan beliau juga, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Sumber Strategik & Teknologi (StaRT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Jabatan Pengurusan juga telah berjaya melalui tahun 2015 dengan beberapa penambahbaikan dalam memperkasakan PDRM diikuti dengan pelbagai pengiktirafan yang menjadi tanda aras kejayaan jabatan-jabatan ini.
Turut hadir pada hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Cawangan Khas, Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah Jabatan Pengurusan, Dato’ Pahlawan Zulkifli Abdullah, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan, aanggota-anggota PDRM serta wakil-wakil media.
Ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar memeriksa barisan Kawalan Kehormatan