
Artikel
Pdrm Kehilangan Seorang Operatif Utk Yang Cekal Dan Berdedikasi
Keningau, 14 Julai 2022 - Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang operatif cekal dan berdedikasi, mendiang Lans Koperal Arique Sha...
Keningau, 14 Julai 2022 - Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang operatif cekal dan berdedikasi, mendiang Lans Koperal Arique Shazawie Daud yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di otak.
Mendiang Arique, 26 tahun dari Unit Selam Tempur, UTK Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM Bukit Aman itu mula dimasukkan ke hospital akibat demam ketika sedang dalam penugasan Op Taring pada awal bulan Jun lalu, sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot serta disahkan meninggal dunia pada 12 Julai 2022 jam 4.39 petang.
Selain aktif dalam pelbagai operasi yang pernah dilaksanakan UTK, mendiang juga terlibat dalam kawalan rapat orang kenamaan dari dalam dan luar negara selain pernah mengharumkan nama Pasukan menerusi sukan olahraga serta bina badan.
Jasad anak jati negeri Sabah itu selamat dikebumikan dengan penuh istiadat kepolisan di kampung halamannya dekat Tanah Perkuburan Kristian Kampung Mangkawagu, Tongod, Sabah oleh sahabat handai dari UTK dan kaum keluarga terdekat, petang tadi.
Hadir memberi penghormatan terakhir sebelum jasad disemadikan ialah Komander UTK, SAC Mohamad Suzrin Mohd Rodhi.
Lebih bermakna dalam upacara penghormatan terakhir tadi apabila SAC Mohamad Suzrin bersama rakan-rakan seperjuangan mendiang sendiri yang menyempurnakan urusan pengkebumian.
Sesungguhnya berita sedih pemergian mendiang Lans Koperal Arique itu bukan sahaja satu kehilangan besar buat Pasukan, malah rakan seperjuangan dalam UTK yang teguh cekal dan berdedikasi.