Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Pdrm Esscom Bincang Tempatkan Aset Di Pos Kawalan Burs Point Tawau

Published: 14 Jan 2016 11.29 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kota Kinabalu, 14 Jan- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi menempatkan aset-aset tertentu di pos kawalan keselamatan Burs Point Tawau.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pdrm-esscom-bincang-tempatkan-aset-di-pos-kawalan-burs-point-tawau
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 01:28 MYT

Kota Kinabalu, 14 Jan- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi menempatkan aset-aset tertentu di pos kawalan keselamatan Burs Point Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Dato' Abdul Rashid Harun berkata perbincangan itu bagi menyusun atur aset-aset sesuai untuk ditempatkan di kawasan berkenaan kerana ia berada di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Antara fungsi pos ini untuk memantau pergerakan dan melaksanakan tindakan ke atas sebarang pencerobohan sama ada pendatang asing tanpa izin dan penyeludupan di perairan negara khususnya ke Tawau," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Pos Kawalan Keselamatan Burs Point, Tawau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata kawasan itu dipilih sebagai pos kawalan keselamatan kerana ia amat strategik dan lebih berkesan untuk memantau laluan tikus yang didapati banyak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pos kawalan itu, yang terletak berhampiran Pulau Sebatik dan bertentangan Pulau Nunukan (Indonesia), merupakan antara kawasan yang menjadi laluan penyeludupan rokok dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Abdul Rashid berkata pos kawalan baharu bernilai RM3 juta yang mula beroperasi pada 28 Dis tahun lepas itu, dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dianggotai kira-kira 15 anggota.

"Pembinaan pos kawalan itu membuktikan kerajaan serius dalam memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan negara, membina keyakinan rakyat dan keselesaan masyarakat setempat dengan kehadiran anggota keselamatan," katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sempadan Darat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Putrajaya, Addyhanis Ahmad menyaksikan majlis menandatangani dokumen serah terima Pos Kawalan Keselamatan Burs Point Tawau di antara Setiausaha MKN Sabah Rodzi Md Saad dan Komander Briged Sabah SAC Zanuddin Samsu Hadi.

Sementara itu, Rodzi berkata MKN diberi tanggungjawab untuk menyelia pembinaan pos kawalan itu di bawah Pelan Pusingan Ketiga Rancangan Malaysia ke-10, dan disiapkan pada 27 Nov tahun lepas.

Beliau berkata dengan adanya pembinaan pos kawalan itu, MKN yakin ia merupakan satu lagi platform untuk mengukuhkan keadaan keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah.- BERNAMA

ArticlePublished 14 Jan 2016 11.29 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM