Pdrm Dukung Budaya Hijaukan Alam Sekitar
Wartawan : L/Kpl Irfan bin Bujang
Jurufoto : L/Kpl Santher Kumar A/L Sehgar
PDRM Dukung Budaya Hijaukan Alam Sekitar
"....Kita perlu sedar, dalam mengaplikasikan teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup masyarakat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan..." - YDH Timbalan Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR, 27 Dis – "Tahniah
diatas tindakan proaktif Jabatan Logistik PDRM kerana telah
menganjurkan seminar ini dan beberapa inisiatif lain yang bertujuan
meningkatkan kesedaran mengenai teknologi hijau sekali gus menunjukkan
kesungguhan kita untuk turut serta dalam kempen-kempen yang melibatkan
kesejahteraan - bukan sahaja kepada orang ramai, tetapi juga kepada alam
sekitar," ujar YDH Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan
Ketua Polis Negara dalam ucapan perasmiaannya sempena Seminar ‘Go Green’
PDRM yang berlangsung di Prince Hotel & Residence, hari ini.
Beliau
menegaskan, sebagai organisasi penguatkuasa terulung di Malaysia, PDRM
perlu memainkan peranan yang bijak dalam menyahut seruan glokal
(global & lokal) ini dan setiap formasi, kontinjen dan jabatan perlu
mengambil serius tentang pelaksanaan teknologi hijau ini.
Menurutnya lagi, Teknologi Hijau telah dijadikan agenda Jabatan Logistik dalam Perancangan Strategik dan Resolusi Tahun 2013 dengan memfokuskan kepada empat aspek, iaitu Penjimatan Tenaga; Meminimumkan Pencemaran Alam Sekitar; Meningkatkan Pembangunan Ekonomi melalui perolehan peralatan dan perkhidmatan yang "environmental friendly"; dan menjadi Penyumbang kepada Konsep 'Corporate Social Responsibility' kepada masyarakat.
Sebagai usaha dalam merealisasikan inisiatif ini, PDRM akan membina bangunan hijau yang pertama iaitu Balai Polis (Trafik) Tun HS Lee sebagai langkah pertama untuk menjayakan resolusi teknologi hijau ini.
Sebagai permulaan kepada warga PDRM untuk mengamalkan teknologi hijau di dalam pasukan, beberapa siri program kesedaran dan pendidikan akan dijalankan oleh Jabatan Logistik ke seluruh negara mulai tahun hadapan.
PDRM juga akan menerapkan teknologi hijau dalam reka bentuk dan kelengkapan bangunan yang baru, perolehan peralatan, kelengkapan dan perkhidmatan PDRM.
"Teknologi Hijau diyakini boleh mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar dan sumber asli, meningkatkan tahap kesihatan dan kehidupan, memelihara ekosistem, serta bebanan kos kepada kerajaan di dalam usaha menangani kesan negatif daripada pembangunan dan berperanan sebagai alternatif dalam usaha meningkatkan ekonomi negara tanpa menjejaskan alam sekitar," akhiri beliau.
Program pada hari ini turut dihadiri oleh YDH Dato' Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Ketua-ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis, Komandan-komandan, Ketua Jabatan Logistik Negeri dan wakil-wakil media.Nyanyian lagu Negaraku...
Bacaan doa...
Ucapan oleh YDH Dato' Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik PDRM
Ucapan oleh YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara
Gimik perasmian...
Sesi penyerahan cenderahati...
Antara yang hadir...
Sidang media...
YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara membuat lawatan di sekitar 'booth' pameran...