Patuhi Peraturan Jalan Raya Elak Kemalangan Polis Kelantan
Kota Baharu, 25 Jan- Polis Kelantan menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada dan mematuhi peraturan trafik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata sebarang kelalaian boleh membawa padah terutama di jalan raya yang dikenal pasti berisiko untuk berlakunya kemalangan seperti Jalan Kuala Krai-Gua Musang.
"Pemandu tidak boleh leka dengan peraturan jalan raya yang disediakan oleh pihak berkuasa walaupun sesaat, pemandu perlu ambil peduli terhadap peraturan itu, kita tidak boleh sesuka hati ketika berada di jalan raya," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mazlan mengulas kemalangan yang mengakibatkan enam sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Rantau Manis, Gua Musang,
Sabtu lepas.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemandu kereta Nur Amira Adzudin, 23, ibunya Mardiah Drani, 48, kakak iparnya Noor Azila, serta tiga anak Noor Azila, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz, 18 bulan, serta pasangan kembar Siti Badrishah Ab Rahman dan Siti Noraudah, 4, maut.
Sementara itu, Mazlan menggalakkan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan polis untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.- BERNAMA