Artikel
Ops Tiong Sindiket African Scam Yang Licik Tumpas
Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat wanita dengan tertangkapnya tiga individu te...
BUKIT PERDANA, 19 Mei - Polis berjaya
menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan laman
sosial Facebook untuk memikat wanita dengan tertangkapnya tiga individu
termasuk seorang wanita warga tempatan.
Timbalan
Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, YDH SAC
Dato' Rodwan bin Mohd Yusof berkata ketiga-tiga mereka yang berumur
antara 26 hingga 39 tahun yang dua daripada mereka adalah warga Nigeria,
ditahan Isnin lepas dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan
Cheras.
Penipuan
sindiket itu terbongkar setelah polis melancarkan siasatan ekoran
laporan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan berumur 43
tahun kepada Kedutaan Taiwan di sini Februari lepas bahawa dia ditipu
hampir RM380,000 selepas berkenalan dan jatuh cinta dengan salah seorang
anggota sindiket itu melalui Facebook.
Menghuraikan
kegiatan penipuan sindiket itu dalam sidang media di pejabatnya di sini
hari ini, YDH SAC Dato' Rodwan memberitahu bahawa suspek menyamar
sebagai seorang warga Britain dengan menggunakan nama John Miller ketika
berkenalan dengan mangsa kira-kira tiga bulan lepas.
Suspek
mendakwa menetap di United Kingdom dan memberitahu mangsa kononnya dia
akan memberi hadiah bungkusan di mana kandungannya terdapat barangan
yang berharga pound sterling 950,000 dan mangsa perlu mengambilnya di
Malaysia.
Pada
serbuan di Seri Kembangan, antara yang dirampas ialah sejumlah barang
kemas bernilai kira-kira RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer,
pelbagai jenis dokumen dan buku cek, sejumlah kad ATM dan visa pelbagai
jenama serta wang tunai USD15,000 dan RM14,260 termasuk. empat buah
kereta seperti Toyota Rush dan Honda Accord bernilai kira-kira
RM400,000. Polis juga percaya wang hasil penipuan telah digunakan untuk
menjalankan perniagaan sewa kereta yang didaftarkan atas nama suspek
wanita tempatan tersebut.
Kes
disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika
disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda serta di
bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Wartawan : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor
Jurugambar : Pusat Media PDRM
Penyunting : F29 Siti Fatimah binti Abdul Manan