Ops Ramadan Ops Selamat Banteras Jenayah Menjelang Aidilfit
Putrajaya, 15 Julai - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka beberapa operasi antaranya Ops
Ramadan dan Ops Selamat bagi mencegah dan membanteras jenayah menjelang
sambutan Hari Raya.
Beliau berkata antara misi Ops Ramadan adalah mencegah dan membanteras jenayah pada tahap maksimum, menentukan tiada peluang untuk perlakuan jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
"Begitu
juga Ops Selamat yang akan dilancarkan untuk mengekalkan keselamatan
dan kesejahteraan sepanjang musim perayaan, tidak kira di jalan raya
atau pun di rumah," katanya.
Beliau
berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan
bungkusan Hari Raya oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri
dan Timbalan Menteri (Bakti) di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Khalid
berkata keadaan keselamatan negara pada masa kini adalah terkawal,
sekali gus membolehkan umat Islam menunaikan ibadah puasa dalam keadaan
aman dan selesa.
Walaupun
terdapat cubaan pihak-pihak tertentu baru-baru ini untuk mencetus
gangguan ketenteraman awam dengan tindakan mencabul kedaulatan
undang-undang negara, peristiwa itu dapat ditangani dengan berkesan,
katanya.
"Peristiwa
yang saya maksudkan ialah insiden pencerobohan di Lahad Datu dan di
beberapa kawasan lagi di Sabah pada 11 Feb lepas yang meragut nyawa
lapan perwira PDRM dan dua perwira Angkatan Tentera Malaysia," katanya.
Dalam
perkembangan lain, Khalid berkata kes pasangan yang mempersenda umat
Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook disiasat oleh
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Bukan
semua (kes) polis akan siasat...ini kes kesalahan di bawah akta
Suruhanjaya Komunikasi, jadi penguatkuasa SKMM akan siasatlah," kata
beliau kepada pemberita.
Pasangan
itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen
yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial berkenaan,
baru-baru ini.
Sumber : BERNAMA