Ops Cantas Khas Polis Sabah Selesai Kes Pecah Rumah Samun
Kota
Kinabalu, 19 Dis - Kejayaan Op Cantas Khas menyaksikan polis Sabah
berjaya menyelesaikan 20 kes samun berkumpulan, pecah rumah dan curi
kenderaan di sekitar bandar raya sepanjang tahun ini dengan
tertangkapnya 18 individu.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata mereka yang ditangkap termasuk dua
wanita dan kesemua mereka daripada tiga kumpulan berasingan.
Sepuluh
daripada suspek yang berusia antara 18 hingga 38 tahun itu didapati
positif dadah dan ditangkap sejak akhir bulan lepas hingga awal bulan
ini di sekitar Kota Kinabalu, Keningau dan Tambunan.
"Lima
anggota dari kumpulan yang dikenali sebagai 'Syamsir' diberkas apabila
terlibat dalam sembilan kes curi kenderaan di sekitar bandar raya ini
termasuk Karamunsing dan Inanam. Mereja ditangkap dalam dua serbuan dari
24 hingga 25 Nov lepas," katanya.
Tiga
termasuk dua wanita pula dari kumpulan 'Boy' yang disyaki melakukan
lima kes samun dan curi kenderaan di Kota Kinabalu serta Keningau dan
ditahan pada 7 hingga 9 Dis lepas.
"Sepuluh
anggota kumpulan 'Rakit' pula terlibat dalam 10 kes pecah rumah dan
curi kenderaan di sekitar daerah ini dan ditangkap pada 12 hingga 14 Dis
lepas," katanya pada sidang akhbar hari ini selepas menghadiri
perhimpunan bulanan peringkat kontinjen Sabah anjuran Cawangan Khas, di
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.
Hamza
berkata setiap daripada kumpulan terbabit mempunyai kepakaran tertentu
seperti kumpulan Rakit dikenal pasti sebagai kumpulan paling agresif
dalam melakukan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan.
Polis
turut merampas 41 barang samun yang bernilai kira-kira RM685,000
termasuk menemui lima kenderaan yang dilarikan oleh kumpulan-kumpulan
terbabit iaitu dua Toyota Vios, Isuzu Dymax, Perodua Myvi dan Nissan
Vanette.
Katanya
kejayaan itu melihat kepada kesan positif terhadap Op Cantas Khas yang
dijalankan bagi mengekang jenayah terutama samun dan curi kenderaan di
seluruh negeri ini.
Dalam
pada itu, Hamza berkata polis turut mengenal pasti tiga premis pajak
gadai di sekitar bandar raya ini yang terlibat dalam penjualan dan
pemajakan barang kemas yang dicuri.
"Ketua
Polis Daerah Kota Kinabalu (ACP Jauteh Dikun) telah diarahkan untuk
memantau premis berkenaan dan tindakan tegas akan diambil pada mereka
yang melanggar Akta Pajak Gadai," katanya.
Hamza berkata maklumat serta kerjasama orang ramai amat dihargai bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di negeri ini.
Sumber : BERNAMA