Ops Cantas Khas Polis Kedah Rampas Lapan Lagi Senjata Api
Alor
Star, 5 Sept - Polis Kedah merampas lapan senjata api dan menahan
seorang lelaki dalam operasi yang dijalankan sempena Ops Cantas Khas di
sebuah rumah di daerah Padang Terap di sini hari ini.
Ketua
Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata hasil maklumat yang diperolehi,
kira-kira 5 pagi ini, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang
Terap melakukan serbuan di rumah itu di Batu 27, Jalan Naka Nami.
Katanya
polis menemui sepucuk pistol semi auto jenis Baretta 9mm, tiga laras
AK47 Assault Rifle 7.62mm, tiga laras M4 Colt Assault Rifle 5.56mm dan
satu assault rifle buatan sendiri.
"Turut
dirampas tiga jenis peluru yang disimpan dalam dua tong minyak pelincir
dan 11 magazine. Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan di rumah itu,"
katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini hari ini.
Katanya
susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki
berusia 53 tahun kira-kira 1 tengah hari ini di Kuala Kedah.
Katanya
siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menjangkakan dapat menahan
beberapa orang lagi berkaitan pemilikan senjata api itu.
"Kes
disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat)
1971. Ini adalah rampasan senjata api terbesar di bawah Ops Cantas Khas
di Kedah. Senjata api itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran,"
katanya.
Sumber : BERNAMA