
Article
Operasi Bersepadu Khazanah Pdrm Komited Sokong Usaha Kerajaan Dalam Melindungi Dan Memelihara Khazanah Negara
Kuching, 8 Disember 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat komited menyokong usaha Kerajaan dalam melindungi dan memelihara khazanah negara sekali gus mend...
Kuching, 8 Disember 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat komited menyokong usaha Kerajaan dalam melindungi dan memelihara khazanah negara sekali gus mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) di bawah Agenda 2030.
Perkara itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 12 Bil.3/2022 bersama Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tuan Ribuan Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Department Of Wildlife & National Parks) (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim di Dewan Colosseum 2, Hotel Pullman, di sini, pagi tadi.
Menurut Tan Sri Razarudin usaha yang berterusan dan kerjasama daripada semua pihak, penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) PDRM telah berjaya direalisasikan.
“WCB PDRM kini dianggotai oleh 16 orang terdiri daripada pegawai polis dan pegawai awam. Jumlah tersebut akan mencapai kekuatan penuh sebanyak 50 perjawatan kelak bagi menjalankan fungsi utama WCB dalam siasatan khas dan operasi risikan jenayah hidupan liar bersindiket serta berprofil tinggi,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan OBK kerana terdapat peningkatan dalam tangkapan dan kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Dari bulan Januari hingga 4 Disember 2022, sebanyak 82 kes telah direkodkan dan 131 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan serta nilai rampasan pula telah mencecah sebanyak RM5.5 juta. “Ini menunjukkan peningkatan berbanding 36 kes yang direkodkan melibatkan 31 tangkapan serta RM574,990 nilai rampasan bagi tempoh kajian sama tahun 2021. Syabas diucapkan kepada semua agensi di bawah OBK atas kejayaan ini!” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman, CP Dato' Khaw Kok Chin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato' Mancha Ata, SAC Perisikan/Siasatan Khas, Cawangan Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas JKDNKA, Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Hj. Sadari, SAC Gerakan JKDNKA, Bukit Aman, SAC M.V. Srikumar Madhavan Nair, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM, SAC Fazlisyam Abd Majid dan Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN, Bukit Aman, SAC Dzulkhairi Mukhtar.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin