
Artikel
Opbanjir Lawatan Kerja Sulung Timbalan Kpn Ke Ipd Kajang
Kajang, 25 Disember 2021 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Razarudin Husain hari ini mengadakan lawatan kerja sulungnya ke Ibu Pejabat Po...
Kajang, 25 Disember 2021 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Razarudin Husain hari ini mengadakan lawatan kerja sulungnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi menyantuni petugas-petugas yang terlibat dalam operasi banjir (Op Banjir) di Selangor.
Ketibaan Timbalan KPN telah disambut oleh Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Tuan Mohd Zaid Hassan, sebelum dibawa ke Bilik Mesyuarat Nilam Sari untuk ditaklimatkan mengenai gerak kerja Op Banjir Polis Diraja Malaysia di daerah tersebut.
Dalam program sama, Timbalan KPN turut berbesar hati menyampaikan sumbangan ikhlas kepada wakil agensi-agensi yang terlibat dalam penugasan Op Banjir dari Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Pengurusan Air Selangor.
Sumbangan tersebut bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan semua petugas yang terlibat dalam operasi menyelamat pada kali ini.
Di sebelah petangnya pula, Timbalan KPN turut berkesempatan melawat Markas Taktikal (MARTAK) Pasukan Gerakan Am, Briged Tengah dekat Kem Tekali di Pusat Kokurikulum Negeri Selangor, di sini.
Selain meninjau lokasi kawasan yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat, Dato' Razarudin juga telah ditaklimatkan mengenai penugasan Pasukan Gerakan Am (PGA) oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Bukit Aman, DCP Dato’ Kasuahdi Ali.
Hadir sama ialah Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Adena Tengku Abdullah dan Komander Briged Tengah PGA, SAC Tuan Muhammad Abdul Halim.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Lans Koperal Muhammad Izhqar Zainal Abidin dan Lans Koperal Muhammad Aizat Kamarudin.



