Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Op Warta 640 Ditahan Dan 1 600 Serah Diri

Diterbitkan: 22 May 2015 8.53 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Ipoh, 22 Mei - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehingga semalam, 640 pesalah trafik ditahan manakala 1,600 orang lagi menyerah diri sejak pelancaran Op Warta pada 19 Mei lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/op-warta-640-ditahan-dan-1-600-serah-diri
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 03:18 MYT


Ipoh, 22 Mei - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehingga semalam, 640 pesalah trafik ditahan manakala 1,600 orang lagi menyerah diri sejak pelancaran Op Warta pada 19 Mei lepas.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia juga berjaya mengurangkan jumlah waran yang belum diselesaikan daripada kira-kira 1.8 juta kepada 1.5 juta setakat semalam.

Op Warta dilaksana bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan seperti diumum oleh Khalid dalam Op Selamat 5 yang dilancar semasa perayaan Aidilfitri tahun lepas.

"Kami akan teruskan operasi ini dan saya menyeru kepada pihak yang berkenaan janganlah sampai kami membuat tangkapan kerana sebenarnya kami tak suka buat tangkapan ini.

"Janganlah sampai kami pergi rumah ke rumah, itu adalah langkah terakhir yang ingin kami lakukan, Jadi sekali lagi saya seru supaya mereka yang berkenaan menyemak dengan serta-merta kerana proses menyemak telah dipermudah, melalui telefon bimbit boleh, pergi balai pun boleh, melalui internet pun boleh, macam-macam cara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM bersama Ketua Polis Negara yang bertema Bersama Merealisasikan Transformasi PDRM di sini hari ini.

Khalid turut mengakui tindakan menahan pesalah trafik ketika sekatan jalan raya bukan langkah yang baik namun pihaknya tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya, mereka yang didapati cuba bersubahat dan melindungi pesalah trafik juga boleh diambil tindakan kerana menghalang penjawat awam melaksana tugas.

Sebelum operasi rumah ke rumah dijalankan, Khalid berkata pihaknya akan mengkaji keberkesanan pelaksanaan Op Warta selepas dua minggu.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 22 May 2015 8.53 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM