Op Selamat 8 2016 Jumlah Kemalangan Maut Menurun
Oleh : Kpl Edwind Indo & Siti Nursyafiqah binti Zamri (Pelatih Praktikel)
Kuala Lumpur, 19 Feb – Jumlah kemalangan maut sepanjang Op Selamat 8/2016 ini telah menunjukkan penurunan sebanyak 8.1 peratus berbanding Op Selamat 6/2015 yang lalu meskipun menyaksikan peningkatan jumlah kemalangan sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun lalu.
Jumlah kematian turut mencatatkan penurunan sebanyak 28 kes (9.1 peratus) di mana pada kali ini sebanyak 279 kes dicatatkan berbanding 307 kes pada Op Selamat 6/2015 yang lalu.
Berucap mewakili Ketua Polis Negara sempena Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan Kepada Pengguna Jalan Raya Berhemah Dan Kontinjen/ Daerah Terbaik di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini berkata, kempen Op Selamat kali ini telah sedikit sebanyak mencapai objektifnya untuk mendidik pengguna-pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah terutamanya ketika sambutan perayaan.
Tambah beliau, penguatkuasaan keselamatan jalan raya yang lebih menyeluruh dengan konsep ‘total enforcement’ telah menganjakkan pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memfokuskan kepada ‘static approach’ sebelum ini.
Op selamat pada kali ini juga menyaksikan kolaborasi bersama PLUS Malaysia Berhad yang saban tahun menjadi penaja utama pada setiap kempen Op Selamat sekaligus menggalakkan Corporat Social Responsibility (CSR) dalam membawa impak positif kepada masyarakat.
Kempen pada kali ini juga turut dibantu dengan penglibatan rakan-rakan strategik seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pihak Berkuasa Tempatan Tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Persatuan Bulan Sabit Merah serta pihak konsesi-konsesi lebuh raya, pihak media dan NGO dalam menjayakan Op Selamat sehingga ianya berakhir pada 15 Februari lalu.