
Op Pasca Banjir Kpn Melawat Pktk Di Hulu Langat
#OPBANJIR
Kajang, 29 Disember 2021 - Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Dewan Dato' Nazir dekat Hulu Langat, di sini.
Beliau tiba sekitar jam 2.30 petang tadi dan turut meninjau penugasan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Majlis Perbandaran Kajang yang ditempatkan di situ bermula 27 Disember lalu.
PKTK yang menempatkan Komander Operasi Bencana menyelaras dan menentukan aturgerak agensi penyelamat serta pemulihan itu beroperasi 24 jam setiap hari sehingga keadaan kawasan dilanda bencana banjir di Hulu Langat pulih sepenuhnya.
KPN turut meluangkan masa mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Selangor, CP Dato' Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Tuan Mohd Zaid Hassan selama hampir 30 minit.
Sejurus selepas itu, KPN sempat meninjau keadaan Balai Polis Batu 18 di sini yang sedang dalam proses pembersihan dan pemulihan selepas terjejas terus dilanda banjir, minggu lalu.
Menerusi tinjauan tersebut, KPN juga beramah mesra dengan anggota polis yang sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di balai tersebut.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Koperal Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin