Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Op Lejang Tumpaskan Kumpulan Curi Kenderaan Di Kuala Muda

Published: 14 Jan 2016 9.15 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Sungai Petani, 14 Jan- Polis berjaya menemui tujuh kereta yang dilaporkan hilang selepas menumpaskan sekumpulan lima lelaki yang aktif mencuri kenderaan di sekitar daerah Kuala Muda menerusi Op Lejang pada Ahad lepas.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/op-lejang-tumpaskan-kumpulan-curi-kenderaan-di-kuala-muda
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 07:50 MYT

Sungai Petani, 14 Jan- Polis berjaya menemui tujuh kereta yang dilaporkan hilang selepas menumpaskan sekumpulan lima lelaki yang aktif mencuri kenderaan di sekitar daerah Kuala Muda menerusi Op Lejang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata lima suspek yang ditahan berusia antara 19 dan 26 tahun termasuk pemilik bengkel berusia 26 tahun.

Menurutnya kejayaan polis itu adalah susulan penemuan kereta Proton Wira tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan di tepi jalan berdekatan Tikam Batu di sini pada 23 Dis lepas, 10 hari selepas dilaporkan hilang di Bakar Arang.

"Hasil risikan, polis berjaya mengesan kumpulan itu yang aktif mencuri kereta tempatan di sekitar Kuala Muda, dan tiga serbuan dibuat di tiga premis berasingan iaitu di Tikam Batu, Sungai Petani dan Pokok Sena," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, hari ini.

Md Zukir berkata dalam op yang diadakan pukul 5 petang itu, polis menyerbu bengkel di Kampung Padang Buluh, Tikam Batu, di sini dan menahan lima lelaki termasuk pemilik bengkel berkenaan.

"Turut dirampas, dua kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang di Sungai Petani pada 12 Dis 2015, dan Proton Satria GTI yang dilaporkan hilang di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 9 Jan lalu.

"Siasatan seterusnya membawa kepada penemuan empat kereta curi yang disimpan di Pokok Sena dan Bakar Arang iaitu Proton Wira Aeroback yang dilaporkan hilang pada 9 Jan lalu, Proton Satria GTI yang dilaporkan hilang pada 22 Dis tahun lalu.

"Rangka Proton Satria GTI yang hilang pada 6 Jan lalu, dan rangka Proton Satria GTI yang dipotong dua dan dilaporkan hilang pada 18 Nov tahun lepas," katanya.

Md Zukir berkata modus operandi kumpulan itu ialah menggunakan pemutar skru untuk membuka pintu kereta dan membuat sambungan wayar untuk menghidupkan enjin dan mencuri kereta berkenaan.

"Dua daripada suspek yang ditahan disahkan positif dadah jenis syabu namun kelima-lima suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka direman selama empat hari bermula 11 Jan dan berakhir hari ini.

"Tempoh reman akan disambung untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan," katanya.- BERNAMA

ArticlePublished 14 Jan 2016 9.15 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM