Op Gelora Lapan Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan
Muar, 5 Mei - Pasukan Polis Marin (PPM) Muar berjaya menahan sebuah bot yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan manusia dalam rondaan di sekitar pantai Kuala Ketapang, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalang utama yang juga tekong bot berkenaan telah menyedari kehadiran pihak polis dan telah melarikan diri di dalam kawasan hutan bakau berhampiran serta gagal dikesan akibat waktu malam yang gelap gelita.
"Pemeriksaan di dalam bot yang ditinggalkan menemui seramai lapan orang pendatang asing tanpa izin warganegara Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.