
Article
Obk Pdrm Menerusi Wcb Fokus Siasatan Khas Dan Operasi Risikan Jenayah Hidupan Liar Bersindiket Serta Berprofil Tinggi
Melaka, 20 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Wildlife Crime Bereau (WCB) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) m...
Melaka, 20 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Wildlife Crime Bereau (WCB) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) memfokuskan siasatan khas dan operasi risikan jenayah hidupan liar bersindiket serta berprofil tinggi selain sangat komited menyokong usaha kerajaan dalam melindungi dan memelihara khazanah negara.
“Penubuhan WCB ini diharapkan dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah hidupan liar turut diberikan perhatian serius oleh PDRM dengan tindakan penguatkuasaan secara total, selari dengan jenayah-jenayah konvensional dan bukan konvensional lainnya,” ujar Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap sempena Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 15 Bilangan 1/2024, bertempat di Holiday Inn, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, menginjak tahun kelima sejak mula dilancarkan pada September 2019, momentum yang cemerlang dalam OBK masih berjaya dapat dikekalkan.
Ia adalah kerana kolaborasi mantap antara semua agensi penguat kuasa serta badan bukan kerajaan dalam menjayakan OBK sangat signifikan dalam mengekang jenayah hidupan liar di Malaysia.
Menurut beliau lagi, PDRM akan terus komited bersama-sama kerajaan menerusi OBK, sekali gus mendokong Nilai Teras ke-7 dalam Dasar Keselamatan Negara iaitu Pembangunan Mampan.
“Sesungguhnya, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan bagi memastikan kelangsungan sumber negara, kesejahteraan rakyat dan keperluan generasi akan datang terpelihara, seterusnya mencapai keseimbangan pembangunan ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar,” ujarnya lagi.
Mesyuarat tadi telah dipengerusikan secara bersama oleh Tan Sri Razarudin dengan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir Abu Hashim.
Hadir sama, Pengarah Jabatan KDNKA, CP Dato' Sri Mohd Kamarudin Md Din, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Tuan Jafri Embok Taha, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Timbalan Pengarah (WCB/Perisikan Siasatan Khas), Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Hj. Sadari dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryanlie Mustin