Mekanik Curi Wang Mangsa Nahas Mh370 Akhirnya Ke Penjara
Seorang mekanik, Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 34, dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan sebatan tiga kali setelah mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan mencuri wang daripada akaun simpanan seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, warga China, tahun lalu.
Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap isteri lelaki itu yang bekerja sebagai pegawai di bank HSBC, Nur Shila Kanan, 34, kerana tidak hadir di mahkamah dan sepatutnya turut dijatuhi hukuman hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa atas empat pertuduhan mencuri wang RM7,650 daripada akaun simpanan milik Tian Jun Wei di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) HSBC Amanah Ampang Point, Ampang di sini antara 10.02 pagi, 15 Mei tahun lalu dan 11.28 malam, 29 Jun tahun sama.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.
Sumber: Utusan Malaysia