
Media Karangkraf Wakaf 15 Ribu Naskhah Al Quran Kepada Warga Pdrm
Kuala Lumpur, 11 Jun 2020 – Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. berbesar hati mewakafkan sebanyak 15,805 naskhah al-Quran kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara bagi meningkatkan motivasi kerja menerusi bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (IKHLAS) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob telah menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador sebagai simbolik sumbangan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 13,805 naskhah al-Quran telah diagihkan kepada sebahagian besar Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah, Balai Polis dan juga di lokasi-lokasi sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Manakala penyerahan baki 2,000 naskhah al-Quran pada hari ini adalah penyerahan terakhir yang diwakafkan kepada warga kerja Bukit Aman dan para jemaah Masjid Bukit Aman. Tan Sri Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, usaha murni tersebut bukan sahaja menggalakkan warga PDRM untuk membaca al-Quran, tetapi juga menyuntik semangat mereka dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.
“Ke arah menyuburkan lagi budaya membaca al-Quran, saya berharap agar setiap jabatan mewujudkan sudut al-Quran (Quran corner) dengan meletakkan kitab suci ini di ruangan khas tersebut.
“Di samping itu, warga Pasukan disaran memperuntukkan masa sekurang-kurangnya lima minit sehari untuk membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran yang penuh dengan mukjizat, penawar serta menjadi panduan hidup kita,” katanya lagi.
Majlis tadi turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) merangkap Pengerusi Tabung Wakalah Zakat PDRM Bukit Aman, CP Dato’ Zamri Yahya, Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, DCP Tuan Haji Shafien Mamat, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Ramli Mohamed Yoosuf, Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS, DCP Dato’ Abd Razak Elias, para pegawai Kumpulan Media Karangkraf dan PDRM serta rakan media.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (IKHLAS) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador sebagai simbolik sumbangan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sesi bergambar kenangan.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (IKHLAS) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador sebagai simbolik sumbangan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Bacaan doa bagi memberkati majlis.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan cenderahati kepada Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (IKHLAS) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (IKHLAS) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor.
Sesi bergambar kenangan.