Mayat Warga Filipina Ditemui Dengan Kesan Tetakan Di Sandakan
Sandakan, 7 Mei - Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tetakan di kawasan tapak pembinaan berhampiran Kampung Mangkalinau dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Dato' Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa adalah warga Filipina yang dikenali sebagai Lawrance Perig berusia lingkungan 40-an.
Katanya mayat ditemui orang awam pada pukul 7.54 malam dengan kesan tetakan senjata tajam di bahagian kepala sebelah kiri, tangan kiri dan kanan mangsa.
Tiada sebarang senjata tajam ditemui di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat dan polis sedang menjejaki seorang lelaki bagi membantu siasatan.
- BERNAMA