Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Mayat Pelajar Maahad Timbul Selepas Tengku Mahtota Pahang Sertai Sar

Diterbitkan: 04 Oct 2016 7.18 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Kuantan, 4 Okt 2016 - Mayat seorang pelajar Maahad, Alif Lukman Hakim Azman, 13, yang dilaporkan lemas Ahad lalu di Sungai Kuantan berhampiran kawasan perumahan Sungai Isap, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari tempat kejadian pagi tadi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/mayat-pelajar-maahad-timbul-selepas-tengku-mahtota-pahang-sertai-sar
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 02:36 MYT

Kuantan, 4 Okt 2016 - Mayat seorang pelajar Maahad, Alif Lukman Hakim Azman, 13, yang dilaporkan lemas Ahad lalu di Sungai Kuantan berhampiran kawasan perumahan Sungai Isap, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari tempat kejadian pagi tadi.

Mayat mangsa didapati timbul di permukaan sungai kira-kira 11.05 pagi, kira-kira lima minit selepas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut turun ke sungai dengan menaiki bot untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.

Sebelum itu beliau yang tiba di tempat kejadian 10.45 pagi diberikan taklimat tentang operasi mencari dan menyelamat oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh.

Beberapa minit selepas beliau menaiki bot, mayat pelajar berkenaan tiba-tiba timbul tidak jauh dari tebing sungai menyebabkan wartawan, orang ramai dan anggota penyelamat yang berada di tebing sungai menjadi terkejut.

Seorang anggota bomba dan penyelamat yang berada di dalam bot kemudian terjun ke dalam sungai dan membawa mayat berkenaan ke tebing sungai dengan dibantu oleh anggota penyelamat yang lain.

Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Abdul Aziz berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan lemas.

Alif Lokman Hakim dilaporkan hilang di dalam sungai dipercayai akibat tergelincir ketika hendak membasuh bajunya yang kotor, setelah dia memancing bersama rakan-rakannya kira-kira 5.30 petang.

Seramai 121 pegawai dan anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Pasukan Penyelamat Dalam Air, Angkatan Pertahanan Awam, pasukan skuba dan orang awam terlibat dalam operasi SAR.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Oct 2016 7.18 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM