MARIN SARAWAK RAMPAS BALAK HARAM BERNILAI RM247,500
Sarikei, 5 Nov – Dua buah kapal yang membawa kayu balak dipercayai diperolehi secara haram berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 di Sungai Lobak, di sini, pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 5 ACP Kalai Chelvan Navarajan berkata, bertindak atas maklumat awam pasukannya berjaya menahan kapal Golden Light dan Gui Ting yang sarat dengan muatan kayu balak.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kapal berkenaan menemui 800 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz bernilai RM247,500 serta tidak mempunyai Cop Jabatan Perhutanan Sarawak.
“Turut ditahan tiga kru kapal warga Indonesia selepas gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri yang sah” katanya lagi.
Kesemua rampasan termasuk sebuah kren bernilai RM 250,000 diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarikei untuk tindakan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak.