Marin Mersing Tahan Empat Bot Pukat Tunda Langgar Syarat Lesen
Mersing, 15 Nov – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya menahan empat buah bot pukat tunda kerana melanggar syarat lesen dalam Ops Gelora di sini hari ini.
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semasa menjalankan operasi di perairan Laut Mersing menggunakan bot ronda PA9, pihaknya telah terserempak empat buah bot nelayan jenis pukat tunda.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua bot tersebut mendapati pemiliknya telah melanggar syarat lesen iaitu gagal mengusahakan bot sendiri serta bot tidak dilengkapi dengan alat pemadam dan jaket keselamatan.
“Turut dirampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat tujuh tan," katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kuala Sedili untuk tindakan lanjut.