Maklumbalas Pelaksanaan Ops Sikap Ke 20 2009
Bukit Aman - 29 September
2009. YDH SAC II Dato' Abdul Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan telah
mengadakan Sidang Akhbar di Bilik Gerakan, Cawangan Trafik Bukit Aman
pada pagi ini.
Ops
Sikap Ke-20, 2009 dilaksanakan dengan matlamat memastikan kelancaran
aliran trafik, mengurangkan kadar kemalangan maut ke tahap minima pada
musim perayaan dan penguatkuasaan undang-undang jalanraya secara
terancang.
Sepanjang
Ops Sikap Ke-20 dijalankan, tiada masalah kesesakan jalanraya yang
serius berlaku di semua laluan utama termasuk pada waktu puncak. Dalam
konteks mengurangkan kadar kemalangan maut ke tahap minima pada musim
perayaan, PDRM telah mengenalpasti sebanyak 377 sektor Ops Sikap bagi
tahun 2009 berbanding 346 sektor pada tahun 2008. Pemilihan sektor
-sektor ini adalah berdasarkan analisis oleh Cawangan Trafik dan juga
kajian empirikal yang telah dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS). Dalam pemilihan ini, keseluruhan
Lebuhraya dikategorikan sebagai 1 sektor dan 376 sektor adalah di
jalan-jalan Persekutuan/Negeri/Bandaran.
Dalam tempoh Ops Sikap Ke-20, sebanyak 153,745 tindakan saman telah dikeluarkan. Tindakan saman yang dkeluarkan semasa Ops Sikap Ke-20 ialah 101,796 saman POL.170 dan 51,949 saman POL. 257. Sebanyak 16,393 saman telah dikeluarkan kepada pesalah-pesalah motosikal atas pelbagai kesalahan daripada 35,353 buah motosikal yang diperiksa.
Sungguhpun pelbagai usaha seperti kempen dan penguatkuasaan dijalankan, sikap pengguna jalanraya masih tidak berubah di mana kadar pelanggaran undang-undang adalah tinggi. Kecuaian pengguna jalanraya khususnya terbabas sendiri, cuba memotong, cuai keluar masuk simpang dan memasuki laluan salah telah menyumbang 71% punca kematian dalam kemalangan. Pengguna jalanraya motosikal masih merupakan penyumbang kemalangan maut yang tertinggi iaitu 55.5% (147 kematian) daripada kategori mangsa yang lain. Jalan Persekutuan masih merupakan laluan yang paling banyak berlaku kemalangan maut iaitu 43.6% (105 kes) daripada keseluruhan kemalangan maut (241 kes) Kemalangan maut di sektor lebuhraya cuma merekodkan 10.4% (25 kes) sahaja.
Walaupun dilihat dari segi statistik terdapat peningkatan dalam jumlah kemalangan dan kematian, operasi yang telah dujalankan telah memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya pengguna jalanraya. Usaha ini penting untuk menguabah sikap pemandu supaya menjadi pemandu yang bertanggungjawab, bertoleransi serta berhemah ketika di jalanraya. Kehadiran anggota polis semata-mata tidak dapat mengubah sikap pengguna jalanraya melainkan pemandu itu sendiri bersedia untuk berubah ke arah yang lebih positif.

kiri...YDH SAC II Dato' Abdul Aziz bin Yusof, Ketua Trafik Pasukan bersama Pegawai-pegawai Kanan Trafik semasa Sidang Akhbar di Bilik Gerakan, Cawangan Trafik Bukit Aman