
Article
Majlis Rumah Terbuka Pdrm Meriah Dengan Kehadiran Lebih 2 000 Tetamu
Kuala Lumpur, 9 Mei 2023 – Majlis Rumah Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat...
Kuala Lumpur, 9 Mei 2023 – Majlis Rumah Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini berlangsung sederhana namun meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu jemputan termasuk warga Pasukan sekitar Lembah Klang.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof dan Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan disambut oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dan timbalannya, DIG Tan Sri Razarudin Husain dengan disertai pasangan masing-masing.
Pada sambutan tahun ini, sebanyak 11 gerai makanan yang mewakili setiap jabatan dalam PDRM telah menyediakan pelbagai aneka juadah dan kuih tradisional seperti sate, lemang, ketupat, rendang, kambing beriani, roti canai, kuih gula melaka, cendol dan sebagainya.
Majlis yang bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang itu juga diselitkan dengan persembahan lagu-lagu raya oleh Kumpulan Akustika dan Quintet PDRM yang ternyata memeriahkan lagi suasana sambutan.
Di penghujung majlis, Tan Sri Acryl Sani dengan diiringi Pengarah Pengurusan, CP Dato' Azmi Abu Kassim telah menyampaikan hadiah berbentuk hamper kepada para petugas bagi Pertandingan Gerai Tercantik.
Tempat pertama dimenangi oleh Urus Setia KPN, diikuti Jabatan Siasatan Jenayah dan tempat ketiga jatuh kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Belia dan Sukan (KBSMalaysia), Puan Hannah Yeoh, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah, Pesuruhjaya dan Ketua Polis Negeri, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Hj. Kamal Faizul Mohd Zain pesara polis, wakil-wakil agensi penguatkuasa kerajaan serta media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin

















