Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Majlis Perasmian Pusat Media Dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia

Diterbitkan: 10 Jun 2014 3.47 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.50 PM
Semoga dengan adanya Pusat Media dan Facebook PDRM ini, kerjasama erat di antara media, masyarakat dan polis akan membentuk satu sinergi, satu kekuatan untuk membentuk satu semangat untuk menggerunkan..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/majlis-perasmian-pusat-media-dan-pelancaran-facebook-polis-diraja-malaysia
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:06 MYT

Bukit Aman - 21 September 2010. Satu lagi lembaran sejarah penting bagi Polis Diraja Malaysia pada hari ini apabila YB Dato' Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein , Menteri Dalam Negeri, sudi hadir dan melancarkan  Majlis Perasmian Pusat Media dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia yang telah diadakan di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman pada jam 3.00 petang hari ini.

Turut hadir mengiringi beliau ialah YB Dato' Wira Abu Seman bin Yusof dan YB Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

YDH IGP Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dan YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara hadir di  Majlis Perasmian Pusat Media dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia bersama-sama YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

Penubuhan Pusat Media Polis Diraja Malaysia akan membawa citra baru kepada PDRM dan hubungan dengan media massa, yang berkemampuan untuk memberi kemudahan kepada pihak media dalam menyampaikan berita PDRM yang terkini.

Pusat Media PDRM ini akan dapat menyalurkan maklumat yang tepat, cepat dan terkini  kepada pihak media massa untuk mengeratkan lagi perhubungan PDRM dengan media massa dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap PDRM. Pusat Media PDRM juga menyediakan kemudahan ruang kerja dan kemudahan penghantaran berita secara 'real time' kepada wakil-wakil media yang hadir di Bukit Aman untuk mendapat berita.

Pusat ini juga akan bertindak sebagai pusat kepada wartawan tempatan dan antarabangsa untuk mendapat maklumat atau berita terkini yang sahih daripada PDRM, membekalkan berita-berita mengenai jenayah, memudahkan wakil-wakil media mengetahui aktiviti-aktiviti penting PDRM seperti Hari Bertemu Pelanggan, Dialog Bersama Masyarakat dan majlis-majlis PDRM.

Selain itu, Pusat Media ini juga akan mengendalikan Sidang Media pada setiap hari Rabu jam 10.30 pagi mulai minggu hadapan.

"Adalah menjadi harapan saya dengan adanya kemudahan Pusat Media ini, laporan-laporan yang disiarkan oleh Media Massa akan lebih jelas, seimbang dan tepat melaporkan sesuatu isu yang sedang  berlaku. Ia juga dapat menghakiskan spekulasi di kalangan masyarakat terutamanya kes-kes menarik perhatian umum," antara ucapan oleh YDH Ketua Polis Negara.

Sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi sejajar dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' di Majlis Perasmian Pusat Media PDRM pada petang ini  juga dilancarkan serentak Facebook Polis Diraja Malaysia.

Facebook Polis Diraja Malaysia merupakan satu medium merentasi sempadan yang melepasi kongkongan konvensional atau adat kebiasaan tanpa mengambil kira perbezaan kaum, status, umur dan latar belakang. Melalui Facebook PDRM ini diharapkan dapat mendekati masyarakat dan memberi peluang kepada PDRM untuk menambahbaikkan penyebaran maklumat.

Facebook PDRM ini juga adalah satu usaha PDRM dalam menyampaikan perkhidmatan Polis kepada masyarakat melalui internet dan teknologi, merupakan satu platform alternatif untuk mendekati masyarakat terutamanya masyarakat yang Internet Savvy.

Ianya juga satu inisiatif berterusan PDRM yang menggunakan internet dan teknologi sebagai media sosial dalam memperluaskan hubungan untuk mencapai masyarakat secara terus, menggalakkan komunikasi secara interaktif untuk mencapai persefahaman, menjalinkan perhubungan dan memelihara keyakinan masyarakat untuk bekerjasama dengan Polis dalam usaha membanteras jenayah sebagai satu tanggungjawab bersama.

"Facebook bukan sahaja menjadi pelengkap kepada Rakan Cop yang sedia ada, ia juga membantu dan memudahkan tugas-tugas Polis juga".

"Facebook Polis Diraja Malaysia ini akan menjadi 'Community Oriented Page' kepada PDRM dan melalui Facebook, jurang Polis dengan masyarakat dapat dirapatkan dengan lebih berkesan lagi dan akan membawa faedah dan keberhasilan yang positif kepada kedua-dua pihak iaitu masyarakat dan polis".

"Semoga dengan adanya Pusat Media dan Facebook PDRM ini, kerjasama erat di antara media, masyarakat dan polis akan membentuk satu sinergi, satu kekuatan untuk membentuk satu semangat untuk menggerunkan penjenayah di negara ini,"

"To my media friends, lets work together", akhiri ucapan oleh YDH IGP Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara

Majlis Perasmian Pusat Media Dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia
Ketibaan YB Dato' Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein , Menteri Dalam Negeri disambut oleh YDH IGP Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dan YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara di lobi Menara 1, Bukit Aman

Majlis Perasmian Pusat Media Dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia
Majlis Perasmian Pusat Media dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia

Majlis Perasmian Pusat Media Dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia
Majlis Perasmian Pusat Media PDRM dan Pelancaran Facebook PDRM telah disempurnakan oleh YB Menteri Dalam Negeri, YB Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri, YDH Ketua Polis Negara dan YDH Timbalan Ketua Polis Negara.

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 3.47 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.50 PM