Majlis Penyampaian Peralatan Srs Rukun Tetangga Taman Pandan Mewah
Ampang - 8 Ogos 2010. Skim Rondaan Sukarela ataupun lebih dikenali sebagai SRS adalah satu cabang di dalam sesuatu organisasi Rukun Tetangga. Skim Rondaan Sukarela ini ialah suatu skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga 1975, Pindaan 1988.
Skim ini dikendalikan oleh Biro Keselamatan yang merupakan salah satu jawatankuasa di dalam organisasi sesebuah Rukun Tetangga manakala rondaan pula dilaksanakan oleh peronda-peronda yang berdaftar di sebahagian atau keseluruhan kawasan rondaan yang telah pun diwartakan.
Skim Rondaan Sukarela dijalankan sebagai salah satu langkah untuk menjaga keselamatan dalam sesuatu Kawasan Rukun Tetangga disamping membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah yang semakin meningkat pada masa sekarang.
Dengan adanya Skim Rondaan Sukarela ini, sebahagian besarnya telah pun berjaya mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.
SRS Taman Pandan Mewah telah melangkah maju ke hadapan dengan penyampaian beberapa buah basikal bagi melengkapkan skim rondaan tersebut yang lebih mantap. Perasmian dan penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh YDH Supt. Amiruddin bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya. Manakala beberapa buah basikal tersebut telah disumbangkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB. Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Pengerusi Penduduk Taman Pandan Mewah memberi penerangan tentang program yang diadakan pada hari tersebut.

Para ahli jawatankuasa penduduk Taman Mewah, Ampang mendengar taklimat dan ucapan daripada YDH. Supt. Amiruddin bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.

YDH. Supt. Amiruddin merasmikan majlis penyampaian sumbangan basikal kepada skuad ronda SRS Taman Pandan Mewah.

Dengan rasminya, skuad rondaan berbasikal mencuba basikal yang telah disumbangkan oleh Menteri Penerangan dan Komunikasi YB. Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim.