Majlis Pelancaran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan
Cheras - 6 Mei 2009 . Majlis Pelancaran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (Nasional Occupational Skills Standard) atau lebih dikenali dengan singkatan NOSS, Bahagian Komunikasi Jabatan Logistik PDRM telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM, Cheras hari ini.
Hadir di majlis tersebut ialah Y.Bhg Encik Mohamad bin Sulaiman, Pengarah Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, YDH CP Dato' Mahsuri bin Zainal, Pengarah Jabatan Logistik, YDH SAC I Dato' Shabudin bin Abdul Wahab, Komandan Maktab PDRM Cheras, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Melalui program Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) ini, PDRM bersama-sama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia telah membentuk satu program latihan yang lebih bersistematik kepada warga PDRM bagi peringkat persijilan dan diploma.
Usaha ini adalah merupakan langkah proaktif yang diambil oleh Bahagian Komunikasi dalam meningkatkan produktiviti dan kompetensi modal insan dan memberi pengiktirafan kepada pegawai dan anggota Bahagian Komunikasi. Ia juga bertepatan dengan hasrat Kerajaan Malaysia amnya dan PDRM khasnya dalam proses menjana sumber modal insan yang berkemahiran tinggi dalam pelaksanaan penugasan kepolisan.
Dengan pengiktirafan yang telah diterima ini, jelas membuktikan bahawa kualiti latihan dalam Bahagian Komunikasi khususnya dalam bidang Operasi dan Teknikal yang telah dijalankan oleh PDRM adalah menepati kehendak standard piawaian yang telah ditetapkan.
NOSS merupakan satu sistem kerja berkualiti yang diiktiraf di peringkat nasional dan usaha ini sejajar dengan inspirasi pasukan untuk melahirkan pegawai dan anggota yang berkelayakan, berpendidikan serta memiliki tahap profesiolisma yang tinggi dalam menjalankan penugasan seharian.
Kursus-kursus Bahagian Komunikasi telah diadakan sejak tahun 1948 lagi dan sehingga kini seramai lebih kurang 6,000 orang pegawai dan anggota telah menghadiri kursus berkenaan. Berdasarkan kategori masing-masing, kursus yang sedia ada ditambah nilai dan disusun semula bersama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran tanpa melibatkan kos tambahan. Dengan penyusunan semula ini, peserta kursus akan mendapat dua sijil iaitu sijil yang dikemukakan oleh PDRM mengikut Gred dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga tahap Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
Bertitik tolak daripada kejayaan ini, Bahagian Komunikasi PDRM telah memenangi anugerah bagi Best Practise In Wireless Government bersempena Future Government Conference di Bali, Indonesia pada bulan Oktober 2008.

Ucapan oleh YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara

Pelancaran NOSS oleh YDH Ketua Polis Negara

YDH Ketua Polis Negara menerima Sijil Pengiktirafan NOSS daripada Y.Bhg Encik Mohamad bin Sulaiman, Pengarah Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan.

YDH Ketua Polis Negara menyampaikan Sijil Penghargaan

Penyampaian cenderahati oleh YDH Ketua Polis Negara

Bergambar kenangan bersama Fasilitator dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia