Lima Lelaki Dipercayai Rompak Pengerusi Gerakan Melaka Diber 20140619
Melaka,
29 Jan - Polis Melaka memberkas lima lelaki dalam tempoh dua jam
selepas dipercayai melakukan rompakan di rumah Pengerusi parti Gerakan
Melaka Datuk Lee Ah Fat di Jalan Palembang, Bukit Baru di sini.
Ketua
Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata polis
menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 6.50 pagi ini
sebelum unit rondaan polis diarah ke tempat kejadian.
Beliau
berkata polis yang tiba di rumah mangsa kemudian melihat tiga lelaki
bertopeng di kawasan rumah itu sebelum mengarahkan mereka menyerah diri.
"Ketiga-tiga
lelaki itu bagaimanapun bertindak melarikan diri ke kawasan kejiranan
namun berjaya diberkas polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya polis turut berjaya merampas tiga bilah parang dipercayai digunakan ketika rompakan itu.
Salehhudin
berkata susulan penangkapan tiga lelaki berkenaan, pihaknya menahan dua
lagi lelaki yang berada di dalam dua buah kenderaan jenis Toyota Wish
dan Nissan Teana disyaki rakan penjenayah terbabit, kira-kira satu
kilometer dari tempat kejadian.
Beliau
berkata polis masih mengesan barangan yang dilaporkan hilang termasuk
tiga utas jam tangan berjenama Rolex, Elba dan Tissot serta wang tunai
RM2,000.
Katanya Lee yang berada di rumah ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua
suspek yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 41
tahun disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak,
katanya.
Sementara
itu, Lee berkata ketika kejadian kira-kira 6.30 pagi, beliau berada
berseorangan di rumah selepas isteri, anak dan menantunya keluar rumah
untuk mengikuti kelas yoga.
Katanya seorang daripada lelaki terbabit mengacukan parang ke arahnya dan memintanya menyerahkan wang.
"Saya kata ambil lah apa mahu, jangan cederakan saya," katanya.
Sumber : BERNAMA