Lima Anggota Geng Ca Un Ditahan Selesai 22 Kes Samun Dan Pe
Ipoh,
11 Nov - Polis menahan lima anggota Geng Ca'un yang sangat dikehendaki
kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan samun bersenjata dalam
serbuan di sebuah rumah lama di Kampung Tanah Hitam dekat Chemor di
sini, awal hari ini.
Pemangku
Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq berkata dengan
tertangkapnya suspek terbabit, polis menyelesaikan 22 kes pecah rumah
dan samun di sekitar Ipoh selain beberapa jenayah sama di Taiping, Teluk
Intan, Kampar dan Sungai Siput.
Geng
itu yang bergerak aktif sejak setahun lepas, diketuai seorang lelaki
berumur 25 tahun serta dua lagi suspek masing-masing berumur 19 tahun.
Ketiga-tiganya berasal dari Chemor.
"Dua
yang lain berumur 21 tahun masing-masing dari Kampung Padang Tembak,
Teluk Intan dan Kampung Muhibbah, Tapah," katanya kepada pemberita di
Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.
Katanya
kumpulan ini banyak melakukan jenayah pecah rumah dan samun di Kampung
Cik Zainal, Chemor ekoran banyak aduan dari penduduk di sekitar kampung
itu mengenai kegiatan terbabit.
Mengulas
lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata kesemua mereka ditahan
ketika sedang tidur di dalam rumah terbabit yang dijadikan tempat
penginapan dan menyimpan barang curi, pada pukul 4.30 pagi.
"Polis
menemui pelbagai barangan dan peralatan curi termasuk tujuh bilah
parang, sebilah pisau pemotong, tiga topeng muka, dua walkie talkie,
tiga sarung tangan, tiga televisyen LCD, dua video rakaman, 14 telefon
bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM milik
seorang suspek," katanya.
Katanya
sebelum serbuan dilakukan mereka dilaporkan telah melakukan jenayah
samun di kawasan Kanthan, Chemor di sini tengah malam semalam.
Beliau
berkata sebelum ini seorang daripada mereka pernah ditahan dan susulan
tangkapan itu lebih ramai individu yang menganggotai geng itu dan
bertindak lebih ganas apabila menggunakan senjata tajam ketika melakukan
jenayah.
Katanya kesemua mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.
Sumber : BERNAMA