Artikel
LIMA 2023: KEHEBATAN PAMERAN MARITIM DAN AEROANGKASA ANTARABANGSA KINI KEMBALI!
Turut mengambil bahagian, Dron DJI Matrice 300 dari Unit Dron PDRM yang bertindak sebagai elemen tinjauan awal dalam koordinasi operasi demonstrasi serbuan dij...
Langkawi, 23 Mei 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani pagi tadi hadir ke acara Perasmian Pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2023 yang diadakan dekat Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak ketinggalan menyertai acara berprestij itu dengan 'menurunkan' pelbagai elemen dengan aset hebat milik Pasukan untuk tontonan umum, selain mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam di pulau lagenda itu sepanjang acara berlangsung sehingga 27 Mei depan.
Antara elemen dan aset yang ditonjolkan hari ini ialah daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) seperti 69 Komando, Pasukan Gerakan Udara yang menggunakan helikopter AW139 dan AS 355, Pasukan Polis Marin menggunakan Watercat boat dan Rigid-Hulled Inflatable boat dengan gandingan Unit Gempur Marin serta Pasukan Simpanan Persekutuan.
Turut mengambil bahagian, Dron DJI Matrice 300 dari Unit Dron PDRM yang bertindak sebagai elemen tinjauan awal dalam koordinasi operasi demonstrasi serbuan dijalankan serta Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik bersama Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti yang membuat rondaan cegah jenayah.
Terdahulu, Tan Sri Acryl Sani dan isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa menyertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama 2,000 penonton lain menyaksikan persembahan udara milik 36 pesawat pertahanan negara dan antarabangsa dengan pelbagai formasi mengujakan dalam acara pembuka tirai di MIEC.
Selain Malaysia, persembahan tadi dijayakan oleh pasukan dari Korea Selatan, Indonesia, China, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia.
Seusai menerima kunjungan hormat daripada beberapa delegasi luar negara, Tan Sri Acryl Sani sempat meluangkan masa melawat beberapa gerai pameran yang turut mengambil bahagian, antaranya Havelsan dan Makine Ve Kimya Indüstrisi Incorporated.
Di sebelah petang tadi, Tan Sri Acryl Sani turut menyertai Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyaksikan demonstrasi menyelamat tebusan di maritim oleh pasukan keselamatan negara termasuk PDRM di Resorts World Langkawi sebelum menaiki Kapal Diraja Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menelusuri perairan Pulau Langkawi.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Pengangkutan, Tuan Anthony Loke Siew Fook, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Hazani Ghazali, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Azmi Kassim, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato' Seri Sahabudin Abd Manan serta Ketua Polis Kedah, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.