Lelaki Terlibat Kes Samun Berkumpulan Antara Lapan Ditahan Dalam Ops Cantas
Kuala
Lumpur, 18 Ogos - Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana terlibat
dalam kes samun berkumpulan, adalah antara lapan yang ditahan dalam Ops
Cantas di sekitar Ampang.
Ketua
Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata pemeriksaan
ke atas lelaki terbabit mendapati dia memiliki empat rekod dikehendaki polis, termasuk satu kes samun berkumpulan di Hulu Klang.
Ketika ditahan, lelaki terbabit menaiki sebuah motosikal yang dilapor hilang di Pudu bulan lepas.
Selain motosikal itu, turut merampas dua telefon bimbit dan wang tunai daripada lelaki terbabit.
Dalam
operasi khas bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu, polis
turut menahan dua lelaki di Ukay Perdana dalam sekatan jalan raya kerana
disyaki melakukan jenayah pecah rumah.
"Di
dalam kereta terbabit, kami menemui pemutar skru, sepasang sarung
tangan, dua walkie-talkie, satu pisau lipat panjang, alat semburan dan
dadah jenis syabu dan eramin 5," katanya.
Amiruddin
berkata seramai 10 pegawai dan 43 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah
itu terlibat dalam operasi selama enam jam berakhir pukul 6 pagi ini
yang merangkumi sekatan jalan raya dan pemeriksaan terhadap individu
mencurigakan di restoran 24 jam di sekitar Ampang.
"Mereka
yang ditahan berumur dalam lingkungan 20-an yang terlibat dalam
pelbagai kesalahan antaranya samun, curi kenderaan dan dadah," katanya.
Amiruddin berkata dalam operasi itu polis turut memeriksa 83 individu dan 55 kenderaan. - BERNAMA