Lelaki Perdaya Tiga Peniaga Berjaya Ditahan Polis
Muar,
2 Nov - Seorang lelaki yang disyaki memperdaya tiga peniaga di sini
dengan menyamar sebagai orang kenamaan bergelar 'Tan Sri' ditahan di
Cameron Highlands, Pahang, bulan lepas.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Muar Supt Sahadan Jaafar berkata lelaki berusia
dalam lingkungan 40-an itu ditahan ketika bersembunyi di satu kawasan di
pusat peranginan itu.
"Mangsa
pertama yang diperdayakan lelaki itu adalah seorang penjual kereta
berumur 54 tahun yang kerugian RM13,000 dalam kejadian pada Mei tahun
lepas, manakala mangsa kedua adalah pengusaha kedai makan yang mengalami
kerugian RM26,300 Jun tahun lepas.
"Seorang
lagi mangsa ialah penjual kereta berumur 64 tahun yang kerugian
RM60,000 serta sebuah kereta Proton Waja berharga kira-kira RM50,000
dalam kejadian Ogos tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu
Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.
Sahadan
berkata modus operandi lelaki itu ialah memberikan surat yang
menawarkan projek landskap dan urus niaga petroleum dengan sebuah
syarikat petrokimia kepada mangsa-mangsanya.
Beliau
berkata lelaki itu kemudian menetapkan syarat kepada mangsa iaitu perlu
memberikan kereta dan sejumlah wang kepadanya sebagai ganjaran kerana
membantu mendapatkan projek.
"Dua
mangsa ditawarkan projek landskap manakala seorang lagi projek
petroleum. Lelaki terbabit menghilangkan diri sebaik menerima wang dan
kereta," katanya tanpa memberitahu tarikh sebenar lelaki yang berasal
dari Selangor itu ditahan.
Sumber : BERNAMA