Lelaki Ikat Kokain Bernilai Rm500 000 Di Paha Ditahan
Kota
Kinabalu, 28 Okt - Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Kota
Kinabalu di sini manakala tiga lagi rakannya ditahan di lapangan terbang
Hong Kong Sabtu lepas, dan polis menemui dadah jenis kokain diikat pada
paha mereka.
Kesemua mereka termasuk seorang wanita itu adalah dari Pulau Pinang dan dipercayai anggota sindiket dadah yang sama.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis menemui dua kilogram kokain
bernilai RM500,000 diikat di kedua-dua paha lelaki yang ditahan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
"Lelaki
tempatan berusia 31 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan
mencurigakan ketika melepasi pemeriksaan beg dan badan di balai
perlepasan untuk penerbangan ke Hong Kong pada 5.45 pagi.
"Pemeriksaan
ke atas badan suspek menjumpai empat paket kokain yang dibalut di
kedua-dua paha dengan setiap paket seberat 500gm," katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai HK$1,000 dan RMB200 (Yuan) daripada lelaki itu.
Hamza
berkata semakan rekod penerbangan mendapati lelaki itu berlepas dari
Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada Khamis lepas, sebelum memasuki Sabah
keesokannya (Jumaat) dan dijadual ke Hong Kong pada Sabtu.
Beliau
berkata susulan penangkapan lelaki itu, polis mengesan tiga lagi rakan
suspek yang membawa empat kilogram kokain menggunakan taktik sama.
"Tindakan
pantas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah menyalurkan
maklumat membawa kepada penangkapan tiga rakan suspek termasuk seorang
wanita oleh Polis Narkotik Hong Kong sebaik tiba di lapangan terbang
negara itu pada hari sama," katanya.
Hamza berkata ujian saringan awal ke atas lelaki yang ditahan di LTAKK itu mendapati dia negatif dadah.
Lelaki
itu mempunyai jenayah rekod jenayah lampau dan masih menjalani
pengawasan polis dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) di bawah
Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya di Pulau Pinang.
Sumber : BERNAMA