Article
Lelaki Ditahan Beberapa Minit Selepas Samun Rm85 000
GEORGE TOWN, 6 Jan (Bernama) -- Tindakan pantas anggota peronda polis berjaya memberkas seorang daripada empat penjenayah yang baru menyamun RM85,000 daripada...
Jurucakap polis berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan di Jalan Masjid Negeri di sini, manakala tiga lagi rakannya meloloskan diri dengan meninggalkan kereta jenis Perdana yang dinaiki mereka di jalan itu.
Beliau berkata kejadian bermula apabila empat lelaki itu mengekori wanita berkenaan yang berumur sekitar 50-an dari sebuah bank di Bukit Jambul pada kira-kira pukul 10.30 pagi, sehingga ke Jalan Gudwara.
"Sebaik sampai di sebuah kedai di Jalan Gudwara, salah seorang daripada lelaki itu mengacukan parang ke arah wanita berkenaan dan mengugut supaya diserahkan wang yang baru diambil di bank itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata wanita berkenaan sempat mencatat nombor pendaftaran kereta yang dinaiki empat lelaki itu semasa melarikan diri dan dia kemudianya membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di sini.
"Sebaik sahaja maklumat mengenai kejadian itu disebarkan kepada anggota polis, sebuah MPV (peronda polis) yang membuat rondaan berjaya mengesan kereta Proton Perdana yang dinaiki empat lelaki itu di Jalan Masjid Negeri, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian," katanya.
Katanya menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu memecut laju sebelum berhenti di sebuah kawasan dan keempat-empat mereka melarikan diri, namun salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap.
Beliau berkata polis menemui wang tunai RM50,000, dan dua dua bilah parang dalam kereta itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.