Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lelaki Dikehendaki Polis Ditahan Pistol Berserta Lapan Pelu

Diterbitkan: 17 Jun 2014 8.29 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.43 PM
Sepang, 2 Ogos - Seorang lelaki yang dikehendaki polis sejak tahun 2003 ditahan di Taman Wangsa Permai, Kota Warisan di sini Jumaat lepas. Ketika ditahan pada pukul 9.15 malam, lelaki berusia 39 tahun..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lelaki-dikehendaki-polis-ditahan-pistol-berserta-lapan-pelu
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:52 MYT

Sepang, 2 Ogos - Seorang lelaki yang dikehendaki polis sejak tahun 2003 ditahan di Taman Wangsa Permai, Kota Warisan di sini Jumaat lepas. Ketika ditahan pada pukul 9.15 malam, lelaki berusia 39 tahun itu membawa pistol, topeng muka dan sarung tangan dalam sebuah beg plastik, kata Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abd Rahman.

"Polis peronda melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sambil memegang beg plastik," katanya sambil memberitahu polis merampas pistol jenis Beretta semi auto dengan lapan butir peluru yang dibawa lelaki terbabit dalam beg plastik itu.

Beliau berkata lelaki terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah, rusuhan dan samun.

"Suspek juga dikehendaki oleh Polis Serdang dalam tiga kes samun iaitu dua pada tahun 2003 dan satu pada tahun 2004," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh rakan sekampungnya di Batu 29 Kampung Jenderam Hilir, di sini dua minggu lepas.

Imran berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di Sungai Merab, Bangi dua hari selepas polis menerima laporan kehilangan Rustam Sugi, 59, pada 20 Julai lepas.

"Mayat Rustam, seorang pekerja kontraktor, ditemui pada 24 Julai dengan kesan 54 tikaman dan hirisan di badan di tepi jalan kawasan belukar di situ dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian kira-kira pukul 9.15 pagi.

"Polis turut menemui sebilah pisau berukuran tujuh setengah inci yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dan memberitahu Rustam telah bekerja di negara ini sejak 10 tahun lepas.

Imran berkata polis percaya motif pembunuhan ialah kerana suspek yang telah berada di sini sejak tahun 2010 berasa dengki dengan mangsa mungkin atas faktor kewangan.

Sementara itu, Imran mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu terutama berkaitan samun dan mereka yang didapati bersalah membuat laporan palsu boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.

"Sebanyak sembilan laporan palsu diterima dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini dan alasan yang diberi ialah kerana tidak mahu didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana kehilangan kad pengenalan," katanya.
 
Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 8.29 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.43 PM