Lelaki Dikehendaki Polis Ditahan Pistol Berserta Lapan Pelu
Sepang,
2 Ogos - Seorang lelaki yang dikehendaki polis sejak tahun 2003 ditahan
di Taman Wangsa Permai, Kota Warisan di sini Jumaat lepas. Ketika
ditahan pada pukul 9.15 malam, lelaki berusia 39 tahun itu membawa
pistol, topeng muka dan sarung tangan dalam sebuah beg plastik, kata
Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abd Rahman.
"Polis
peronda melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sambil memegang beg
plastik," katanya sambil memberitahu polis merampas pistol jenis Beretta
semi auto dengan lapan butir peluru yang dibawa lelaki terbabit dalam
beg plastik itu.
Beliau berkata lelaki terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah, rusuhan dan samun.
"Suspek
juga dikehendaki oleh Polis Serdang dalam tiga kes samun iaitu dua pada
tahun 2003 dan satu pada tahun 2004," katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Dalam
perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki Indonesia bagi membantu
siasatan kes bunuh rakan sekampungnya di Batu 29 Kampung Jenderam
Hilir, di sini dua minggu lepas.
Imran
berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di Sungai Merab, Bangi dua
hari selepas polis menerima laporan kehilangan Rustam Sugi, 59, pada 20
Julai lepas.
"Mayat
Rustam, seorang pekerja kontraktor, ditemui pada 24 Julai dengan kesan
54 tikaman dan hirisan di badan di tepi jalan kawasan belukar di situ
dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian kira-kira pukul 9.15
pagi.
"Polis
turut menemui sebilah pisau berukuran tujuh setengah inci yang
dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dan memberitahu Rustam
telah bekerja di negara ini sejak 10 tahun lepas.
Imran
berkata polis percaya motif pembunuhan ialah kerana suspek yang telah
berada di sini sejak tahun 2010 berasa dengki dengan mangsa mungkin atas
faktor kewangan.
Sementara
itu, Imran mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu
terutama berkaitan samun dan mereka yang didapati bersalah membuat
laporan palsu boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.
"Sebanyak
sembilan laporan palsu diterima dalam tempoh Januari hingga Julai tahun
ini dan alasan yang diberi ialah kerana tidak mahu didenda oleh Jabatan
Pendaftaran Negara kerana kehilangan kad pengenalan," katanya.
Sumber : BERNAMA