Lelaki Dengan 10 Rekod Jenayah Diberkas Samun Kedai Runcit
Nibong
Tebal, 29 Nov - Seorang lelaki yang dikehendaki polis atas kesalahan
samun dan pecah rumah diberkas ketika menyamun sebuah kedai runcit di
Sungai Bakap, di sini malam semalam.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dalam
kejadian 8.30 malam itu, suspek yang bersenjatakan sebilah pisau masuk
ke dalam kedai dan mengugut akan membunuh pemilik kedai jika mangsa cuba
melawan.
"Mangsa
berusia 42 itu yang bimbang dengan keselamatannya bertindak melarikan
diri dan memaklumkan kejadian kepada anggota polis yang bertugas di
pondok polis kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
"Dua
anggota polis kemudian bergegas ke situ dan suspek yang menyedari
kehadiran polis meluru keluar dari kedai namun dapat diberkas," katanya
dalam sidang media, di sini hari ini.
Pemeriksaan
polis terhadap suspek berusia 40 tahun itu menemukan wang tunai RM300
serta pelbagai barangan lain yang disamun dari kedai berkenaan, katanya.
Menurut
Shafien siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau
bersabit dadah dan jenayah serta dikehendaki polis bagi membantu
siasatan sekurang-kurangnya enam kes samun dan pecah rumah di sekitar
daerah ini.
Mengulas
kes lain, Shafien berkata seorang tukang cat berusia 46 tahun cedera
selepas ditikam oleh seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Taman
Sungai Bakap di sini, dalam kejadian pukul 2 petang semalam.
"Kejadian berlaku apabila mangsa pulang untuk mengambil barang dan mendapati ada seorang lelaki di dalam rumahnya.
Suspek yang terkejut melihat pemilik rumah terbabit pulang bertindak menyerang mangsa.
"Berlaku pergelutan dan ketika itu mangsa ditikam suspek menggunakan senjata tajam sebelum lelaki itu melarikan diri," katanya.
Mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Bakap dan keadaannya dilapor stabil, katanya.
Menurut
Shafien usaha mengenal pasti suspek sedang dijalankan dan berdasarkan
maklumat awal suspek berbadan tegap dan dianggar berusia dalam
lingkungan 30-an.
Sumber : BERNAMA