Lelaki Cedera Terkena Tembakan Ketika Serang Anggota Polis
Klang,
21 Feb - Seorang suspek kes curi lori cedera di kaki akibat terkena
tembakan ketika menyerang anggota polis trafik yang cuba menahannya di
Taman Kandis Permai di sini hari ini.
Dalam
kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, anggota polis trafik terbabit
terlihat sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang
mengawal lalu lintas di Jalan Kebun di sini.
Ketua
Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarul Zaman Mamat berkata anggota
polis berkenaan cuba menahan lori itu namun pemandunya enggan berhenti
dan terus memecut sehingga hampir melanggar beberapa kenderaan lain.
Anggota
berpangkat Lans Koperal itu terus mengejar suspek lelaki itu dengan
motosikal sejauh tujuh kilometer dan berjaya memaksanya memberhentikan
kenderaan.
"Suspek
yang cemas, bergelut dan mengancam polis dengan sebilah pisau
menyebabkan anggota kami terpaksa melepaskan satu das tembakan mengenai
kaki suspek. Anggota polis itu pula cedera ringan di bahagian tangan
kiri akibat bergelut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamarul
Zaman berkata lelaki itu disyaki melarikan diri kerana menaiki
kenderaan curi bersabit satu kes di Pandamaran pada Ahad lepas.
Hasil pemeriksaan turut menjumpai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan dalam lori berkenaan.
Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan dan akan ditahan reman, katanya.
Seorang
saksi kejadian berkata beliau amat takut dan cemas kerana pergelutan
itu di depan matanya dan beliau memuji tindakan berani polis itu.
"Masa
kejadian saya bersama beberapa jiran lain di hadapan rumah dan terkejut
tengok ada satu lori dikejar polis trafik. Lori tu himpit motor polis
sampai polis jatuh dan dia bergelut dengan polis hingga polis terpaksa
lepaskan tembakan," katanya.
Sumber : BERNAMA